Tajuddin akui silap ketika kendali sidang media: Najib

Tajuddin
Tajuddin
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pengerusi Prasarana Berhad, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengakui dirinya melakukan kesilapan ketika mengendalikan sidang media berhubung kemalangan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya pada Selasa sehingga menimbulkan perasaan kurang senang segelintir pihak.

Pengakuan Tajuddin yang juga Pengarah Piliharaya UMNO itu dikongsi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui catatan di Facebooknya pada Rabu.

Menurut Najib, pengakuan itu dibuat Tajuddin ketika beliau menghubungi Ahli Parlimen Pasir Salak itu susulan tular laporan dirinya dikatakan tidak sensitif dengan tragedi tersebut.

"Beliau menerima nasihat serta teguran saya dan meminta maaf atas cara pengendalian sidang media sebab tragedi di mana ramai cedera parah bukan masa untuk berseloroh. Dia akui, dia tak sepatutnya mengendalikan sidang media sebegitu rupa.

"Dia sendiri akui, sidang media itu sepatutnya dikendalikan dengan lebih baik dan penuh empati serta maklumat. Dia juga akan meminta maaf kepada wartawan yang hadir terutama wartawan Phoenix TV," katanya.

Jelasnya, Tajuddin juga akan meminta Prasarana menaikkan jumlah bantuan kewangan kepada mereka yang cedera daripada RM1,000 ke satu angka yang lebih memuaskan.

"Ini bukan pampasan tetapi bantuan kecemasan untuk mangsa," katanya.

Menurut Najib, Tajuddin juga akan memastikan siasatan penuh punca tragedi dan tidak akan menyorok sebarang maklumat atau melindungi sesiapa serta memastikan penambah baik prosedur operasi standard (SOP) keselamatan akan dilaksanakan secepat mungkin agar tragedi seumpama ini tidak berulang.

Sementara itu, dalam perbualan sama, Tajuddin juga berjanji akan letak jawatan di dalam kerajaan sebaik sahaja Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO arahkan semua ahli parti untuk meletak jawatan pada masa yang sesuai seperti keputusan Perhimpunan Agung UMNO beberapa bulan lepas.

Artikel Berkaitan:


Tajuddin dikecam pelbagai pihak pada Selasa kerana didakwa tidak sensitif ketika mengendalikan sidang media berhubung tragadi kemalangan melibatkan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya pada malam Isnin.