Duta Israel dipanggil berkait isu dua rakyat Jordan ditahan

Lintasan antarabangsa antara Irbid di Jordan dengan Beit Shean di Israel. - Foto AFP
Lintasan antarabangsa antara Irbid di Jordan dengan Beit Shean di Israel. - Foto AFP
A
A
A

AMMAN - Kementerian Luar Jordan pada Selasa memanggil Duta Israel bagi menyatakan bantahan terhadap penahanan dua warga Jordan kerana dituduh memasuki negara haram rejim Zionis itu sambil membawa pisau.

Menurut kementerian tersebut, ia telah mengemukakan bantahan keras tersebut selain menuntut pembebasan dua rakyatnya yang ditahan Israel pada bulan ini.

Pada 16 Mei lalu, Israel mengumumkan penahanan dua warga tersebut kerana dituduh cuba memasuki negara haram itu melalui lintasan sempadan dari Jordan untuk menuju ke Baitulmaqdis sambil membawa senjata.

Menurut kementerian tersebut, Kedutaan Jordan di Tel Aviv perlu diberikan kebenaran untuk melawat dua warganya dengan segera bagi mengetahui keadaan mereka dan menyediakan bantuan yang diperlukan berdasarkan kepada undang-undang antarabangsa, lapor AFP.

Kira-kira setengah daripada 10 juta penduduk Jordan adalah berketurunan Palestin termasuk kira-kira 2.2 juta pelarian yang telah berdaftar dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pada 10 Mei lalu, Tentera Udara Israel melancarkan serangan ke atas Gaza selama 11 hari yang menyebabkan lebih 200 penduduk Palestin terkorban dan hampir 3,000 lagi cedera sebelum ia berakhir dengan satu gencatan senjata.

Tunjuk perasaan antirejim Zionis turut diadakan hampir setiap hari semasa serangan tersebut dilancarkan selain tuntutan supaya Duta Israel ke Jordan disingkirkan dari negara beraja tersebut.

Jordan mempunyai hubungan diplomatik dan perjanjian keamanan dengan Israel sejak tahun 1994. - Agensi

Artikel Berkaitan: