57 NGO gesa kerajaan larang penjualan rokok elektronik, vape

Sidang akhbar ‘Esok Sudah Terlambat Untuk Malaysia, Larang Vape Sekarang’ yang bersiaran secara langsung dalam talian pada Rabu.
Sidang akhbar ‘Esok Sudah Terlambat Untuk Malaysia, Larang Vape Sekarang’ yang bersiaran secara langsung dalam talian pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan 57 persatuan badan profesional dan badan bukan kerajaan (NGO) menggesa kerajaan melarang penjualan dan penggunaan rokok elektronik atau vape dengan segera.

Pengarah Urusan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dr Murallitharan Munisamy berkata, gesaan tersebut dibuat susulan tular dua klip video yang menunjukkan penyalahgunaan rokok elektronik dalam kalangan kanak-kanak.

“Membekalkan produk merokok terutama yang mengandungi nikotin kepada kanak-kanak di bawah umur merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 17 Akta 366 atau juga boleh dikategorikan sebagai pelanggaran di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Perkara ini wajib dipandang serius oleh kerajaan dan penularan masalah ini dalam kalangan kanak-kanak perlu dibendung segera,” katanya pada sidang akhbar ‘Esok Sudah Terlambat Untuk Malaysia, Larang Vape Sekarang’ yang bersiaran secara langsung dalam talian pada Rabu.

Mengulas lanjut, Dr Murallitharan berkata, penggunaan rokok elektronik sama ada mengandungi nikotin atau tidak mengandungi nikotin tetap akan memberikan implikasi kepada kesihatan.

“Nikotin menyebabkan ketagihan dan apa yang membimbangkan, penggunaan nikotin dalam kalangan kanak-kanak akan memberikan impak kepada perkembangan otak serta meningkatkan risiko untuk terjebak dengan penyalahgunaan bahan terlarang yang lain.

“Kenyataan yang telah diuar-uarkan oleh pihak industri rokok elektronik di mana penggunaan rokok elektronik dengan paras nikotin yang selamat boleh diperkenalkan oleh kerajaan adalah salah.

“Nikotin serendah 2 miligram (mg) boleh menyebabkan gangguan kepada perut dan usus. Dos yang lebih tinggi boleh menyebabkan sawan dan kegagalan pernafasan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, keputusan kerajaan pada Oktober 2016 agar mengawal selia dengan ketat rokok elektronik dan vape yang mengandungi nikotin di bawah Akta Racun 1952 masih tidak kukuh.

“Apa yang lebih membimbangkan, pihak industri telah membuat kenyataan terbuka yang menyatakan bahawa hampir 80 peratus cecair rokok elektronik di pasaran mengandungi nikotin yang terlarang.

“Selain itu, cadangan agar kerajaan memperluaskan industri ini dengan menghalalkan nikotin adalah sangat tidak beretika terutama ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19 yang mengancam nyawa rakyat Malaysia,” jelasnya.

Gabungan NGO berkenaan terdiri daripada Pertubuhan Wanita Malaysia Untuk Kawalan Tembakau dan Kesihatan (MyWatch), Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Persatuan Kesihatan Remaja Malaysia (MAAH), Pertubuhan Green Lung Malaysia, Pesuruhjaya Kanak-kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia, Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA), serta 50 NGO yang lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Perbuatan beri anak hisap vape diselar

Pada 5 Mei lalu, tular satu rakaman video memaparkan tindakan seorang wanita memaksa seorang kanak-kanak dipercayai anaknya sendiri menghisap vape sehingga menerima kecaman daripada netizen.

Pada Sabtu, sebuah lagi video melibatkan dua kanak-kanak tempatan menghisap peranti berkenaan tular di media sosial.