Imigresen gempur penempatan Pati

Warga asing yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Pulau Pinang di Seberang Jaya.
Warga asing yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Pulau Pinang di Seberang Jaya.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Penempatan warga asing yang terletak di Taman Pelangi, Juru di sini digempur pasukan Jabatan Imigresen Malaysia Pulau Pinang dalam Op Ikrar yang dilakukan malam kelmarin.

Operasi yang dilakukan bermula jam 8 malam itu, memeriksa 56 rumah yang dihuni mereka yang kebanyakannya pekerja di sektor perindustrian di kawasan Perai di sini.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Pulau Pinang, Izham Idris berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya mendapat maklumat daripada penduduk setempat mengenai kehadiran warga asing yang semakin ramai di kawasan terbabit.

Menurutnya, walaupun beberapa siri serbuan pernah dilakukan sebelum ini di kawasan berkenaan, namun pihaknya mendapati terdapat warga asing yang tidak mengendahkan undang-undang negara dengan menjadikan kawasan perumahan di situ sebagai penempatan untuk tinggal secara tidak sah.

"Dalam operasi terbabit kita memeriksa seramai 289 penduduk yang terdiri daripada warga asing di beberapa blok di sini dan daripada jumlah itu kita berjaya mengesan 18 orang yang didapati melakukan pelanggaran undang-undang dan syarat imigresen.

"Mereka yang ditahan didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan sah selain tinggal lebih masa di negara ini," katanya.

Izham berkata, ketika serbuan dilakukan ada di antara mereka yang cuba melarikan diri daripada diperiksa namun usaha mereka ternyata sia-sia apabila kawasan terbabit terlebih dahulu dikepung pasukan serbuan.

Artikel Berkaitan:

Antara warga asing yang ditahan
Antara warga asing yang ditahan

Katanya, pihaknya akan terus membuat pemantauan dan pemeriksaan di kawasan berkenaan bagi membanteras pekerja asing tanpa izin di sini.

"Kesemua yang ditahan terdiri daripada empat lelaki dan tujuh wanita serta serta seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia.Turut ditahan dua perempuan warga Myanmar, dua lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki warga Pakistan.

"Kesemua mereka yang berusia 25 hingga 45 tahun itu dibawa ke Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Pulau Pinang di Seberang Jaya untuk proses dokumentasi sebelum dihantar ke depo tahanan warga asing di Juru," katanya.