Pekerja ladang maut digilis traktor sendiri

Seorang pekerja ladang maut digilis traktor dalam kejadian di sebuah ladang kelapa sawit. Gambar hiasan
Seorang pekerja ladang maut digilis traktor dalam kejadian di sebuah ladang kelapa sawit. Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pekerja ladang maut digilis traktor dalam kejadian di sebuah ladang kelapa sawit, berdekatan Jalan Sawah, dekat Kulai, dua hari lepas.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Negeri Johor, Ir Mohd Rosdee Yaacob berkata, kejadian berlaku pada jam 4.15 petang ketika lelaki warga Indonesia berusia 50 tahun itu sedang menyambung secara manual sebuah treler membawa muatan buah tandan segar sawit dengan traktor dipandunya.

Beliau berkata, lokasi penyambungan itu mempunyai kecerunan empat darjah dan kejadian turut menyebabkan traktor tersebut bergerak sejauh 40 meter tanpa pemandu.

“Mangsa ditemukan tidak sedarkan diri dalam keadaan tertiarap dan mempunyai kesan gilisan tayar treler di belakang badannya.

“Mangsa ditemukan oleh mandurnya yang memeriksa tempat kejadian setelah mendapati dia tidak pulang semula ke ram pengumpulan buah tandan segar,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Rosdee berkata, pekerja ladang terbabit disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan dan mayatnya dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, susulan siasatan awal yang dijalankan, pihaknya mengeluarkan satu notis larangan pemberhentian operasi kerja menyambung traktor dan treler buah tandan segar di tempat kejadian.

“JKKP memandang serius setiap kemalangan yang berlaku terutamanya melibatkan pekerja mahupun orang awam. Tindakan perundangan akan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: