Isu balak: Aktivis buat laporan polis terhadap Exco

Gambar treler yang membawa muatan kayu balak saiz luar biasa tular di laman sosial.
Gambar kecil: Khaidir menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Temerloh pada Selasa.
Gambar treler yang membawa muatan kayu balak saiz luar biasa tular di laman sosial. Gambar kecil: Khaidir menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Temerloh pada Selasa.
A
A
A

TEMERLOH - Aktivis alam sekitar, Khaidir Ahmad, 59, tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh pada Selasa berhubung isu treler yang membawa muatan kayu balak bersaiz luar biasa di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh.

Laporan polis itu dibuat terhadap penama akaun Facebook, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin yang menuduh 'posting' beliau mengenai treler yang membawa muatan kayu balak bersaiz luar biasa dan mencurigakan yang singgah di R&R Temerloh arah barat Lebuhraya Pantai Timur (LPT) pada petang 23 Mei (Ahad) sebagai fitnah.

'Posting' tersebut tular di laman sosial dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) juga mengeluarkan kenyataan media mengenai isu tersebut selain Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu turut memberikan penjelasan.

Menurut Khaidir, tuduhan itu berniat jahat kerana beliau tidak menuduh atau mengaitkan mana-mana individu atau mana-mana pihak dengan treler yang membawa muatan kayu balak bersaiz luar biasa itu.

"Sebaliknya, sebagai seorang wartawan bebas dan sebagai seorang rakyat biasa, saya cuma melontarkan aduan bersama persoalan dan kemusykilan saya berhubung treler muatan kayu balak bersaiz luar biasa dan mencurigakan itu agar pihak berkuasa berkaitan menyiasat dan memberikan penjelasan mengenainya.

"Malah JPNP sendiri mengalu-alukan dan menghargai laporan aduan saya menerusi 'posting' Facebook itu yang membolehkan pihak jabatan itu mengambil tindakan pantas menyiasat perkara berkenaan," katanya pada Sinar Harian Rabu.

Dalam pada itu, beliau yang juga bekas Ketua Pengarang Berita TV3 itu mempersoalkan tindakan Shahaniza yang merupakan Exco Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang didakwa telah melemparkan tuduhan melulu terhadapnya.

"Apakah dengan jawatan dan darjah kebesaran yang dimiliki menjadikan beliau (Shahaniza) berasa terlalu berkuasa hingga boleh melemparkan tuduhan melulu kepada rakyat marhaen seperti saya?

Artikel Berkaitan:

"Ingatlah walaupun tiada jawatan dan darjah kebesaran, saya sebagai rakyat marhaen juga mempunyai hak mengikut undang-undang dan perlembagaan untuk mempertahankan maruah dan hak-hak saya sebagai warganegara," tegasnya.

Katanya, laporan polis terbabit adalah langkah pertama dan tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan seterusnya terhadap Shahaniza yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul

ARTIKEL BERKAITAN Treler bawa balak saiz 'luar biasa' dari Terengganu