Lebih 25 tan daging sejuk beku tiada logo halal dirampas

Maqis merampas lebih 25 tan daging kerbau sejuk beku dalam sebuah kontena dari Australia di Pelabuhan Klang Barat pada Isnin.
Maqis merampas lebih 25 tan daging kerbau sejuk beku dalam sebuah kontena dari Australia di Pelabuhan Klang Barat pada Isnin.
A
A
A

KLANG - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas lebih 25 tan daging lembu sejuk beku dalam sebuah kontena dari Australia, di Pelabuhan Klang Barat pada Isnin.

Pengarah Maqis Selangor, Zamri Hashim berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan kira-kira jam 4.20 petang itu mendapati daging sejuk beku itu tidak mematuhi syarat Permit Import dikeluarkan oleh Maqis.

"Pengimport yang membawa keseluruhan dagangan itu juga gagal mempamerkan logo halal di dalam kotak dagangan yang dikehendaki sepertimana yang dinyatakan dalam syarat Permit Import yang diluluskan.

"Semua daging sejuk beku dianggarkan seberat 25,289.30 kilogram (kg) dan bernilai RM309,541.03 ditahan untuk tindakan lanjut," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Antara daging kerbau sejuk beku yang dirampas Maqis dalam sebuah kontena dari Australia di Pelabuhan Klang Barat pada Isnin.
Antara daging kerbau sejuk beku yang dirampas Maqis dalam sebuah kontena dari Australia di Pelabuhan Klang Barat pada Isnin.

Katanya, kegagalan mematuhi syarat yang ditetapkan pada Permit Import Maqis merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15(2), akta yang sama.

"Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

"Maqis sentiasa melakukan pemeriksaan keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar, serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan," katanya.

Artikel Berkaitan: