Kedai gunting rambut dikompaun RM10,000 operasi lebih masa

Polis membuat pemeriksaan di sebuah kedai gunting rambut di Bahau.
Polis membuat pemeriksaan di sebuah kedai gunting rambut di Bahau.
A
A
A

JEMPOL - Seorang pemilik kedai gunting rambut di Bahau di sini memberi alasan tidak tahu waktu operasi sudah berubah sebelum dikompaun RM10,000 berikutan melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, pemeriksaan pasukan petugas khas pada jam 8.10 malam Selasa mendapati pemilik premis berusia 40 tahun masih menjalankan aktiviti perniagaan melebihi masa dibenarkan iaitu sehingga jam 8 malam.

"Ketika pemeriksaan dijalankan, terdapat dua pelanggan berada di dalam premis berkenaan di mana salah seorang sedang menunggu giliran untuk mengunting rambut.

"Kedua-dua mereka berusia 19 tahun dikenakan kompaun RM1,500 kerana tidak memakai pelitup muka," katanya dalam kenyataan kepada media.

Chang Hook berkata, tidak sepatutnya peniaga memberi alasan tidak tahu operasi perniagaan hanya dibenarkan sehingga jam 8 malam kerana perkara itu sudah diuar-uarkan.

Katanya, polis akan sentiasa menjalankan pemeriksaan bagi memastikan peniaga mematuhi SOP yang dikemaskini pada 25 Mei lalu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

"Kompaun dikeluarkan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," katanya.

Artikel Berkaitan: