Enam dikompaun langgar SOP PKPD Mukim Hulu Kinta

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

IPOH - Polis mengeluarkan enam kompaun kepada beberapa individu yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Mukim Hulu Kinta di Dataran Perpaduan 3, Taman Bercham Jaya, di sini pada Selasa.

Operasi Pematuhan SOP yang bermula jam 5 petang itu turut mengeluarkan lapan saman melibatkan pelbagai kesalahan trafik.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abd Aziz berkata, operasi itu dilakukan selepas isu pelanggaran SOP PKPD tular di laman sosial Facebook.

"Bertindak atas maklumat tersebut, Polis Daerah Ipoh melalui Balai Polis Tambun menjalankan operasi di sekitar dataran itu selama dua jam.

"Hasil operasi mendapati pelbagai pelanggaran SOP dikesan, antaranya membawa penumpang di dalam kereta dan pembonceng ketika menunggang motosikal," katanya.

Menurutnya, kesemua kompaun dan saman dikeluarkan ke atas individu yang berusia 18 hingga 64 tahun.

Asmadi menegaskan bahawa pihaknya bersama agensi penguat kuasa lain sentiasa menjalankan pemantauan pematuhan SOP PKPD di mukim tersebut.

"Kita akan mengambil tindakan tegas terhadap orang awam yang gagal mematuhi SOP yang digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Artikel Berkaitan:

"Kita mengalu-alukan sebarang maklumat dan maklum balas daripada masyarakat mengenai pematuhan SOP," katanya.

Maklumat boleh disalurkan melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana PKPD Mukim Hulu Kinta di talian 016-944 5100, 05-526 1453, 05-526 0235, atau faks 05-526 1548 selain Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 05-254 2222.