Tular warga asing gelang 'pink' beli barang

Tular gambar sekumpulan warga asing yang memakai gelang merah jambu dan keluar membeli barangan di kedai runcit berhampiran di Taman Ayer Keroh Height, Ayer Keroh.
Tular gambar sekumpulan warga asing yang memakai gelang merah jambu dan keluar membeli barangan di kedai runcit berhampiran di Taman Ayer Keroh Height, Ayer Keroh.
A
A
A

MELAKA - Tindakan sekumpulan warga asing yang memakai gelang merah jambu membeli barangan di Taman Ayer Keroh Height, di sini tular sejak Selasa menimbulkan kebimbangan orang awam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pihaknya telah menerima laporan polis membabitkan kumpulan warga asing itu yang didakwa melanggar perintah kuarantin.

Menurutnya, selain gambar yang dimuat naik di media sosial Facebook, polis juga menerima laporan rakaman video yang dikirimkan melalui aplikasi WhatsApp gelagat kumpulan itu memakai gelang merah jambu dipercayai sedang menjalani tempoh kuarantin telah keluar dari kediaman mereka.

Katanya, sebelum kejadian itu, warga asing terbabit dipercayai telah membuat ujian calitan (swab test) di kilang mereka dan dipakaikan gelang merah jambu untuk tempoh kuarantin, sementara menunggu keputusan sama ada positif atau negatif.

"Kita menerima laporan polis berhubung tindakan warga asing yang memakai gelang merah jambu dan tular kira- kira jam 1.50 petang semalam (Selasa).

"Menerusi rakaman itu jelas menunjukkan berlakunya pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Afzanizar berkata, susulan itu pihaknya membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 15, Perenggan 22(B) Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) 2021 Akta 342.

Menurutnya, siasatan awal juga mendapati individu terbabit dalam rakaman video tersebut merupakan pekerja kilang warga asing di Kawasan Perindustrian Ayer Keroh.

Artikel Berkaitan:

"Pengurus sumber manusia kilang tesebut telah dipanggil untuk hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah bagi memberi keterangan dan mendapatkan butiran lanjut," katanya.

Beberapa gambar warga asing memakai gelang merah jambu dan membeli barangan di kedai runcit tular sehingga menimbulkan pelbagai persepsi orang ramai.