X

Kindly register in order to view this article
!

'Jangan cepat nak hentam'

Tonggak pertahanan Harimau Malaya, Corbin Ong (kanan) mengekang gerakan pemain Kuwait dalam aksi persahabatan di Stadium The Sevens, Dubai pada Ahad.
A
A

SEMUA pihak tidak seharusnya menyalahkan taktikal pengendali, Tan Cheng Hoe sekiranya skuad Harimau Malaya sekali lagi gagal meraih keputusan positif dalam perlawanan persahabatan menentang Bahrain di Stadium Nasional Bahrain, Riffa pada Jumaat ini.

Jurulatih berpengalaman, Azraai Khor Abdullah berkata, Cheng Hoe sendiri sudah tentu mempunyai perancangan tersendiri menentang pasukan yang berada di ranking ke-99 dunia itu.

Malah, Azraai berharap peminat bola sepak negara melihat aksi persahabatan berdepan Bahrain dan Kuwait sebelum ini sebagai persiapan terbaik Cheng Hoe membentuk kombinasi ampuh menjelang Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bulan depan.

“Saya hairan kenapa ramai orang kritik taktikal Cheng Hoe dalam perlawanan menentang Kuwait. Pasukan negara sudah lama tidak bermain dan sudah tentu Cheng Hoe ada perancangan dia sendiri untuk mencuba beberapa kombinasi.

“Memang keputusan positif seperti kemenangan dalam perlawanan persahabatan adalah sesuatu yang bagus dan akan menaikkan moral pemain negara. Tetapi, kita perlu lihat apa tujuan sebenar perlawanan tersebut diadakan iaitu untuk mencuba semua pemain yang ada.

“Kita tidak boleh salahkan Cheng Hoe sekiranya kita kalah lagi kepada Bahrain nanti kerana perlawanan ini adalah untuk menguji keserasian dan pelan yang mahu diterapkan nanti,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Pada Ahad, skuad Harimau Malaya mengharungi aksi pemanas badan menentang Kuwait yang menyaksikan anak-anak buah Cheng Hoe tewas 1-4 sebelum mereka dijadualkan turun pada perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 berdepan Bahrain.

Kekalahan kepada Kuwait itu menyaksikan skuad Harimau Malaya terutamanya Cheng Hoe tidak terlepas daripada kritikan peminat bola sepak negara yang menyifatkan bekas pengendali Kedah itu masih bereksperimen dengan barisan pemain Harimau Malaya.

Ia selepas Cheng Hoe melakukan sembilan pertukaran dalam kesebelasan utama sebaik babak kedua bermula sehingga menyaksikan gawang Harimau Malaya dirobek tiga kali dalam tempoh 28 minit.

Secara keseluruhannya, Cheng Hoe memberikan peluang kepada 23 pemain beraksi kecuali Safawi Rasid dan Matthe Davies yang ‘direhatkan’ dalam pertemuan menentang Kuwait.

Mengulas lanjut, Azraai berkata, masih ada masa buat Cheng Hoe menilai barisan terbaik yang akan diturunkan dengan beberapa pelan formasi sudah ada dalam perancangan pengendali berusia 52 tahun itu.

“Saya rasa lepas dua perlawanan ini, Cheng Hoe dah nampak apa yang perlu dibuat. Itu pentingnya matlamat adakan perlawanan persahabatan... bukan pergi nak menang saja, sebaliknya nak uji pemain kita.

“Lagipun, buat pertama kalinya Cheng Hoe mempunyai ramai pemain naturalisasi dan pemain kacukan. Jadi ia sesuatu yang baharu untuk skuad negara dan sudah tentu kesemua pemain itu perlu diuji untuk melihat kesesuaian,” jelasnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!