X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Beri majikan insentif beli vaksin

Orang ramai memeriksa pendaftaran nama sebelum menunggu giliran untuk menerima vaksin Covid-19 di Dewan Seri Seroja, Pusat Pemberian Vaksin, Presint 15, Putrajaya pada Selasa.
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disaran memberi insentif kepada majikan-majikan besar supaya membeli sendiri vaksin untuk kakitangan mereka sebagai usaha membendung segera kluster tempat kerja yang merupakan antara penyumbang terbesar kes Covid-19.

Pakar Ekonomi dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, dalam keadaan yang semakin membimbangkan sudah tiba masanya usaha membendung Covid-19 dipikul bersama oleh pihak swasta tanpa mengharapkan kerajaan sepenuhnya.




NOOR AZLAN
NOOR AZLAN

Menurut beliau, dengan kaedah insentif yang adil akan memberi situasi menang-menang kepada pihak terlibat.

“Saya setuju sekiranya galakan diberi dalam bentuk pengecualian cukai misalnya kerana kita tahu kerajaan terbuka jika ada pihak swasta yang mempunyai jaringan mendapatkan bekalan vaksin.

“Kita perlu dapatkan komitmen mereka terutamanya majikan yang besar, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat-syarikat multinasional (MNC) yang mempunyai jumlah pekerja yang ramai untuk tampil menyediakan pemberian vaksin ini.

“Tindakan berkenaan penting kerana jika mereka hanya mengharapkan program kerajaan, mungkin akan mengambil masa,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelas beliau, majikan yang terlibat dengan inisiatif berkenaan juga wajar mendapat insentif dalam bentuk ‘lampu hijau’ bagi pengoperasian syarikat.

Katanya, tindakan itu juga boleh melibatkan pihak pengurusan pusat beli-belah, pasar raya dan sektor peruncitan.“Misalnya kesemua pekerja mereka sudah ambil vaksin hasil inisiatif syarikat sendiri, mungkin mereka boleh diberi kelonggaran untuk beroperasi.

“Kita kena kenal pasti segala bentuk nilai yang membolehkan semua pihak tampil mengambil tindakan.

“Saya juga ada berinteraksi dengan persatuan-persatuan pasar raya, pusat beli-belah dan sektor runcit, rata-rata menyatakan kesediaan untuk berkongsi beban ini,” katanya.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebelum ini memaklumkan perbincangan untuk memulakan program vaksinasi oleh sektor swasta telah dimulakan.

Beliau berkata, pembukaan pemberian vaksin kepada industri akan dipercepatkan dengan kerjasama daripada syarikat-syarikat besar sebaik sahaja fasa tiga program vaksinasi kebangsaan melibatkan warga emas selesai.

Akhbar sebelum ini melaporkan, sebanyak 3,500 majikan di Selangor dan kira-kira 30 syarikat besar di Negeri Sembilan bersetuju untuk membeli vaksin sendiri bagi menangani masalah penularan Covid-19 dalam kluster pekerjaan.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan hanya dijadual selesai sepenuhnya Februari tahun hadapan.

Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) setakat ini telah meluluskan tiga jenama vaksin sahaja iaitu Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca

Mengulas lanjut, Noor Azlan berkata, penglibatan pihak swasta dalam pemberian vaksin juga wajar dikawal memastikan ia diberikan secara lebih teratur.

“Dalam keadaan begini juga kena berhati-hati kerana ada kemungkinan wujud monopoli dan jika tidak dikawal, harganya juga akan naik lebih daripada biasa.

“Jadi mesti adil, bukan semestinya murah, tapi mesti pada harga yang adil,” katanya.

SARANAN UNTUK MENDEPANI WABAK:

- Beri galakan dalam bentuk insentif kepada majikan besar beli vaksin untuk pekerja.

- Pihak swasta perlu bersama-sama pikul beban pandemik Covid-19.

- Orang ramai teruskan berbelanja seperti biasa bagi yang mampu, namun kurangkan pergerakan di luar rumah.

- Wakil rakyat mainkan peranan penting gerakkan pertumbuhan ekonomi setempat.

- Atasi masalah kesukaran akses sistem kerajaan untuk kakitangan yang bekerja dari rumah.

- Maksimumkan kemudahan awam sebagai pusat kuarantin kes positif Covid-19.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!