Suntikan vaksin: Anak-anak halang ibu bapa

No Image Caption
A
A
A

KOTA BHARU - Tindakan segelintir individu yang mudah terpengaruh dengan penyebaran berita tular mengenai suntikan vaksin Covid-19 tanpa melakukan semakan antara faktor berlaku 'ponteng' temu janji Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di negeri ini.

Kesan sampingan suntikan yang ditularkan oleh masyarakat juga menjadi penyebab ada anak-anak yang tidak mengizinkan ibu bapa mereka berbuat demikian.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Zaini Husin berkata, ketiga-tiga alasan tersebut menyebabkan ramai warga emas yang menangguhkan hasrat itu.

"Selain itu sikap tidak mengendahkan pemakluman suntikan yang dihantar oleh kerajaan melalui aplikasi Mysejahtera turut menjadi penyumbang kepada perkara tersebut.

"Kedatangan Ramadan baru-baru ini juga menyebabkan golongan berkenaan membuat keputusan memilih mengambil suntikan selepas sambutan Aidilfitri," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurutnya, antara jajahan yang paling ramai tidak hadir temu janji ialah Bachok, Pasir Puteh dan Pasir Mas.

Beliau berkata, kaum lain dilihat lebih bersemangat untuk mendapatkan suntikan tersebut berbanding Melayu.

Dr Zaini berkata, setakat ini hanya kira-kira 341,000 rakyat Kelantan mendaftar untuk suntikan melalui MySejahtera sedangkan jumlah keseluruhan rakyat yang ada sekitar 1.2 juta orang.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sikap rakyat Kelantan yang hanya menunggu dan lihat dipercayai menjadi punca kepada pendaftaran yang rendah.

"Bagi mengatasi masalah itu, JKNK tidak menolak kemungkinan mewujudkan pasukan bergerak bagi melancarkan gerak kerja bagi memastikan semua rakyat mendapat vaksin.

"Kumpulan ini akan turun ke kawasan kampung bagi memastikan semua penduduk di Kelantan menikmati kemudahan yang disediakan oleh kerajaan," katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada jangkitan Covid-19 secara harian di Kelantan akan mencecah empat angka, beliau menjangkakan kes harian di akan mencatatkan jumlah 450 hingga 600 dalam tempoh dua minggu ini.

"Adanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk beberapa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kelantan, malah dengan prosedur operasi standard (SOP) yang diperketatkan bermula hari ini, maka kita tidak jangka ia boleh capai empat angka tetapi pada tiga angka sahaja.

"Bagaimanapun, ia boleh melepasi 600 kes sekiranya penduduk tidak praktikkan SOP yang ditetapkan," katanya

Sinar Harian pada Isnin melaporkan, Kerajaan Kelantan mendedahkan kira-kira 10,000 rakyat di negeri ini tidak hadir janji temu untuk suntikan vaksin Covid-19 pada tarikh yang ditetapkan.