Biarkan pokok gergasi kekal di hutan

No Image Caption
A
A
A

MERAK Jalanan terkejut melihat gambar sebuah treler membawa kayu balak bersaiz gergasi di Temerloh, Pahang dua hari lalu.

Treler 26 tayar itu cuma muat-muat untuk dua tual balak yang entah berapa ratus tahun usianya.

Kayu cengal itu khabarnya dari hutan simpan di Terengganu untuk dihantar ke sebuah kilang papan di Selangor.

Merak Jalanan faham hasil hutan itu dikeluarkan secara sah oleh pembalak. Cukai juga sudah dibayar.

Tetapi alangkah baiknya kalau pokok sebesar itu tidak ditebang demi kelestarian hutan.

Merak Jalanan lebih ralat mengenangkan bagaimana pokok yang mengambil masa ratusan tahun untuk membesar itu rebah menyembah bumi hanya dalam masa sehari.

Melihat balak gergasi itu, Merak Jalanan juga terbayang banjir besar yang saban tahun melanda Kelantan, Terengganu dan Pahang. Mungkin itu petanda amarah dari hutan.

Menurut rakan Merak Jalanan yang selalu keluar masuk hutan, memang masih ada pokok yang lebih besar daripada balak di atas treler itu.

Artikel Berkaitan:

Pokok terbesar dan tertua pernah ditemui di Malaysia ialah sebatang pokok cengal di Gunung Mandi Angin, Hutan Simpan Pasir Raja, Hulu Dungun pada tahun 1999. Ia dijumpai oleh Pegawai Renjer Durian Mas II, Omar Mohamad.

Pokok cengal tersebut setinggi 65 meter dengan ukur lilitnya 16.75 meter, atau kira-kira 13 pemeluk. Ia memerlukan 27 buah lori bagi mengangkut kayunya.

Pokok gergasi seperti itu ibarat ibu dan raja segala tumbuhan di dalam hutan.

Merak Jalanan tak dapat bayangkan kalau pokok cengal 1,300 tahun ini juga ditebang.

Berpada-padalah mengambil hasil hutan demi masa depan generasi akan datang.