X

Kindly register in order to view this article
!

Kontroversi lonjakkan kembali Nilai 3 yang suram

Kawasan perindustrian Nilai 3 pernah dinobatkan dalam Malaysian Book of Records sebagai Pusat Pemborong Terbesar di Malaysia. Gambar kecil: Zazali
A
A

DENGAN tidak semena-mena, nama Kawasan Perindustrian Nilai 3 di Seremban, Negeri Sembilan menjadi sohor di laman sosial gara-gara isu rentas negeri selebriti popular, Neelofa Mohd Noor atau Neelofa dan suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail.

Malah, Nilai 3 terus hangat diperkatakan sehingga menjadi parodi atau jenaka ramai apabila kes rentas negeri itu tidak didakwa di mahkamah selepas mengambil kira kajian yang dilakukan Pejabat Peguam Negara.

Rata-rata netizen di media sosial, memuat naik status yang mengatakan Nilai 3 kini sudah ‘berpindah’ ke Selangor, sehingga mendorong Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun turut membuat ciapan mengusik Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berhubung Nilai 3 di Twitter baru-baru ini.

Bagaimanapun lonjakan popularti Nilai 3 dilihat seolah-olah ‘talian hayat kedua’ buat majoriti peniaga yang sebelum ini bagaikan ‘hidup segan mati tak mahu’ sejak ia dibuka pada 2001 gara-gara kurang mendapat sambutan orang ramai apatah lagi rentetan pandemik Covid-19.

Wartawan Sinar Harian, Nan Hidayat Nan Azmie menemubual Datuk Bandar Seremban, Datuk Zazali Salehudin yang berkongsi kisah di sebalik isu panas Nilai 3.

SINAR HARIAN: Berdasarkan sejarah, daerah Lukut (Port Dickson) sebelum ini pernah berada di bawah jajahan Selangor sementara daerah Beranang dan Semenyih pula dimiliki Negeri Sembilan sebelum termaktubnya Perjanjian Sempadan Selangor-Sungai Ujong 1878. Cuma baru-baru ini, ekoran kontroversi rentas negeri Neelofa, ada pihak membuat jenaka bahawa Nilai 3 kini sudah menjadi milik Selangor. Apakah komen Datuk?

ZAZALI: Kontroversi yang mengatakan Nilai 3 di kawasan Selangor, hanyalah ketidakfahaman masyarakat umum tentang sempadan kawasan pentadbiran sesuatu negeri. Namun pada saya, isu tersebut juga lebih kepada sekadar gurauan di media sosial sesama warganet. Itu saja.

Untuk mengimbau asal-usul sebenar Nilai sama ada terlibat sama dengan Perjanjian Sempadan Selangor-Sungai Ujong 1878 iaitu turut merangkumi Lukut, maaf saya juga kurang jelas berhubung perkara itu. Mungkin kena rujuk yang lebih arif, Persatuan Sejarah mungkin lebih tahu. Namun, apa yang pasti, Nilai sekarang memang di bawah seliaan pihak kami.

Pada pandangan Datuk, apakah perspektif baik dan buruk di sebalik kontroversi ini?

Dari sudut positif, saya yakin sekarang ramai orang akan tengok peta kerana benar-benar hendak tahu di mana lokasi sebenar Nilai. Selain itu, pada masa sama mereka juga ingin mengetahui sendiri apa yang ada serta dijual di Nilai 3 termasuklah karpet atau jualan barangan borong.

Cuma, saya berasakan dalam isu viral Nilai 3 di Selangor, ia sekadar gurauan yang tidak perlu dipanjangkan lagi terutamanya dengan penuh kata-kata sindiran.

Sepatutnya, kita lebih fokus dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) selain memikirkan bagaimanakah cara yang paling efisien untuk membantu kerajaan bagi memastikan situasi menang-menang dalam segala hal termasuk memerangi Covid-19. Itu jauh lebih penting berbanding kontroversi sebegini.

Ramai juga yang kurang maklum bahawa Nilai 3 kini sudah berada di bawah seliaan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) sejak tahun lepas. Boleh Datuk ceritakan dengan lebih lanjut?

Untuk pengetahuan semua, Nilai 3 kini berada dalam daerah Seremban selepas pengisytiharan Seremban sebagai sebuah bandar raya berkuat kuasa 1 Januari 2020. Ia juga berada di bawah seliaan MBS semenjak penggabungan Majlis Daerah Seremban (MDS) dan Majlis Perbandaran Nilai (MPN) sebagai MBS pada tahun lepas.

Umum mengetahui kesuraman yang melanda peniaga di Nilai 3 sebelum ini sedangkan ia pernah dinobatkan dalam Malaysia Book of Records sebagai pusat pemborong terbesar di Malaysia. Apa pandangan Datuk?

Pembangunan di kawasan Nilai 3 sememangnya agak perlahan terutamanya sejak pandemik Covid-19, sekali gus menyebabkan kuasa pembelian terhad gara-gara kekurangan pelanggan serta mengakibatkan syarikat perniagaan juga tidak begitu berkembang.

Berdasarkan pemerhatian, faktor utama yang menjejaskan kedatangan pengunjung ke Nilai 3 adalah kerana kepelbagaian aktiviti perniagaan serta perbandingan harga yang ditawarkan lokasi lain.

Aktiviti mempromosikan Nilai 3 sebagai pusat pemborong terbesar di Malaysia semakin kelam sama ada daripada agensi kerajaan mahupun persatuan peniaga sendiri berbanding pada awal-awal kewujudan Nilai 3 suatu ketika dahulu.

Disebabkan itu, kedatangan pengunjung hanya disifatkan bermusim terutamanya ketika musim perayaan atau perkahwinan.Apakah cabaran yang terpaksa dihadapi MBS ketika menyeliakan Kawasan Perindustrian Nilai 3 sepanjang tempoh PKP?

Mana-mana premis hanya dibenarkan beroperasi mengikut SOP yang telah ditetapkan kerajaan.

Penjadualan kebersihan di sekitar Kawasan Perindustrian Nilai 3 juga dijalankan seperti biasa seperti mana sebelum PKP, jadi tindakan tegas diambil ke atas mana-mana individu yang didapati membuang sampah secara haram.

Tempat pembuangan sampah haram juga sering dibersihkan secara berjadual dan ia juga disita agar pembuangan sampah haram tidak lagi berlaku di sekitar kawasan Nilai 3.

Dengan pelaksanaan PKP, kehadiran pelanggan di Nilai 3 juga dilihat amat terhad dan minima. Jadi, adakah digerakkan sebarang inisiatif daripada MBS untuk membantu golongan peniaga yang terjejas di situ?

Sudah semestinya. Mana-mana peniaga yang menyewa premis MBS pernah diberikan pengecualian sewa untuk tiga bulan pada tahun lepas.

Sekatan Perintah Kawalan Pergerakan juga memburukkan lagi nasib peniaga di Nilai 3. Gambar: Arkib Bernama
Sekatan Perintah Kawalan Pergerakan juga memburukkan lagi nasib peniaga di Nilai 3. Gambar: Arkib Bernama

Pengecualian bayaran sewa premis itu juga telah diberikan kepada peniaga terjejas pada awal tahun ini.

Sedikit soalan berbeza Datuk. Dalam usaha mendepani pandemik Covid-19, boleh Datuk kongsikan bentuk inisiatif yang dilaksanakan MBS dalam usaha membantu Kerajaan Negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri?

Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, pihak kami sememangnya berdedikasi membantu pihak berkenaan dalam aspek sanitasi awam.

Pada masa sama, MBS juga telah memberikan kebenaran untuk menggunakan pelbagai dewan serba guna seperti Dewan MBS, Dewan Sikamat, Dewan Sendayan dan Dewan MBS Cawangan Nilai untuk dijadikan Pusat Pemberian Vaksin, sekali gus memudahkan orang ramai.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!