Insiden terburuk dalam sejarah LRT negara

No Image Caption
A
A
A

PERTEMBUNGAN dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) yang mengakibatkan 213 penumpang tercedera dengan 47 orang parah adalah insiden terburuk dalam sejarah perkhidmatan pengangkutan awam itu sejak beroperasi 23 tahun lalu.

Tragedi menggemparkan negara itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 8.45 malam Isnin melibatkan LRT Laluan Kelana Jaya di terowong antara Stesen Kampung Baru dan Stesen KLCC.

Sejarah menunjukkan projek sistem LRT pertama itu memulakan operasinya pada Disember 1996 dengan Fasa 1 menghubungkan Ampang dan Sultan Ismail.

Dikenali sebagai STAR LRT, perkhidmatan itu turut ditawarkan bagi kawasan Sri Petaling sebelum kedua-duanya dinamakan semula sebagai Laluan Ampang dan Laluan Sri Petaling.

Lembah Klang juga mempunyai satu lagi perkhidmatan LRT untuk kawasan Petaling Jaya yang dahulu dikenali sebagai Putra LRT iaitu Laluan Kelana Jaya. Projek LRT Lembah Klang diusulkan sejak 1980-an apabila Kajian Pengangkutan Pelan Induk Kuala Lumpur yang mendapati ibu kota memerlukan sistem rel bersepadu bagi memperbaiki infrastruktur pengangkutannya.

Sejak itu, perkhidmatan yang disediakan telah memberikan kemudahan kepada ribuan warga kota. Perkhidmatan yang dikendalikan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) juga berjaya membantu mengurangkan kesesakan jalan raya.

Namun, LRT pernah mengalami beberapa insiden dan mencetuskan kemarahan pengguna tetapi apa yang berlaku pada malam Isnin itu meninggalkan sejarah hitam dalam perkhidmatannya.

Pengarah Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Asia Rail Centre, Dr Azman Senin berkata, insiden itu amat mengejutkan semua pihak.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang merupakan Dekan Kampus Cawangan Institut Reka Bentuk Malaysia-Itali (MIDI) UniKL berkata, laporan hasil siasatan insiden perlu didedahkan dengan telus agar punca kemalangan dapat diketahui.

Siasatan perlu melihat kronologi pengoperasian yang memerlukan setiap tren membuat laporan kepada pusat kawalan operasi termasuk tentang kedudukan semasa tren.

“Jadi, memang kita nampak berkemungkinan kemalangan berlaku akibat masalah sistem isyarat dan komunikasi,” katanya.

Menurutnya, Prasarana menggunakan Communication-Based Train Control (CBTC) – satu sistem persemboyanan yang mengawal pergerakan tren dan kedudukan tren pada satu-satu masa.

Sistem itu digunakan secara meluas oleh perkhidmatan tren terutama perkhidmatan tren dalam bandar di seluruh dunia. Sistem CBTC yang menggunakan pengoperasian tren tanpa pemandu dikawal sepenuhnya sistem operasi tren automatik atau Automatic Train Operation (ATO).

“Di bawah kawalan ATO, proses pergerakan tren sama ada untuk pecutan, membrek dan larian adalah berdasarkan jadual operasi tren yang telah ditetapkan.

"Sistem ini juga mengawal proses pemberhentian tren di stesen, proses buka dan tutup pintu tren dan juga proses penukaran kabin pemanduan,” kata Azman.

Namun, Azman berkata, sekiranya berlaku masalah atau kerosakan pada sistem ATO, pengoperasian tren akan dijalankan pemanduan secara manual dan perlu mematuhi prosedur ketat terutama melibatkan proses komunikasi dengan pihak Pusat Kawalan Operasi Tren atau Operation Control Centre (OCC).

Oleh itu, beliau mencadangkan bagi tindakan jangka pendek untuk mengenal pasti semua root-cause atau punca kemalangan perlu dikenal pasti dan tindakan susulan perlu dilakukan.

Bagi tindakan jangka masa panjang, pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) boleh menjalankan Independent Management and Engineering Audit (M&E audit) bagi memastikan segala aspek operasi, baik pulih dan keselamatan sistem rel untuk semua laluan memenuhi syarat-syarat ditetapkan Kementerian Pengangkutan.

“Pihak berkaitan juga mesti mengkaji dan menilai semula polisi, prosedur dan senarai semak sistem pengurusan RAMS (Reliability, Availability, Maintainability and Safety) bagi laluan Kelana Jaya," katanya.

Perlanggaran tren itu boleh dimodelkan semula melalui sistem simulasi yang dikenali Train Sandboxie yang sedia ada di UniKL Asia Rail Centre.

Diharapkan insiden berkenaan menjadi pengajaran kepada negara.

* Raiham Mohd Sanusi ialah Wartawan Sinar Harian (Nasional)