Jadi pendakwah, bukan pendakyah

No Image Caption
A
A
A

SELAIN berita palsu, fitnah dan hal-hal yang tidak berfaedah, kita juga sentiasa dihujani dengan pelbagai jenis pengetahuan. Pengetahuan datang tanpa dipinta.

Apabila tercetusnya kembali peperangan antara Palestin dan Israel, kita mendapat pengetahuan mengenai sejarah bermulanya pencerobohan Yahudi ke tanah Palestin susulan Pengisytiharan Balfour.

Kita juga mendapat ilmu perbezaan antara Masjid al-Aqsa dan Qubbat As-Sakhrah atau Dome of Rock, apa itu Zionis, Yahudi, kitab Taurat, Briged Al-Qassam, malah apa itu Iron Dome. Akhirnya, kita mendapat kesimpulan bahawa peperangan Israel dan Palestin akan berlanjutan hingga ke akhir zaman.

Inilah pengetahuan mengenai peperangan itu yang kita peroleh daripada internet, portal dan media sosial. Kita tidak mencarinya tetapi ia datang mencurah-curah tanpa dipinta.

Namun, pengetahuan sebegini tidak penting, melainkan kita melihatnya sebagai ilmu. Ilmu adalah sesuatu pengetahuan yang dipelajari untuk digunakan selepas itu.

Sama ada ia ilmu memotong kuku, memasak, bertukang, bisnes, perakaunan, seni bina dan pelbagai lagi, ilmu membantu kita untuk kehidupan.

Betapa pun, ilmu yang boleh kita gunakan itu tidak bererti seandainya ia setakat diketahui tanpa kefahaman.

Misalnya, kita mempunyai ilmu pengetahuan mengenai peristiwa-peristiwa di mana Rasulullah SAW kerap berlapar dan sanggup mengikat perut, baginda pernah berhutang dengan seorang Yahudi dan rumahnya amat sederhana.

Artikel Berkaitan:

Ia memberi imej bahawa Rasulullah adalah seorang yang miskin.

Tetapi bila kita faham bahawa kehidupan cara itu adalah pilihan baginda sendiri, kita akan menghormati, malah ingin mencontohi kehidupan sebegitu.

Baginda sudah lama kaya sebagai usahawan sejak kecil kerana menggembala kambing dan seorang ahli bisnes hingga dipilih Siti Khadijah untuk menguruskan perniagaannya.

Malah, baginda mempunyai sahabat-sahabat jutawan seperti Saidina Usman bin Affan dan Abdul Rahman bin Auf.

Mustahil Rasulullah SAW tidak boleh kaya dengan sokongan para sahabat, melainkan itu adalah pilihannya untuk hidup bersederhana.

Justeru, pengetahuan itu setakat tahu, berilmu itu adalah sesuatu yang boleh kita gunakan tetapi ia tidak bermakna seandainya kita tiada kefahaman mengenainya.

Bagaimana kita mendapat kefahaman mengenai sesuatu perkara itu melainkan dianugerahkan oleh ALLAH Yang Maha Mengetahui?

Ilmu dan kefahaman pula tidak akan berkekalan seandainya kita tidak mengamalkannya. Amal tanpa ilmu itu suatu kebodohan dan ilmu tanpa amal itu pula suatu pembaziran.

Apa juga ilmu yang diperoleh tanpa diikuti dengan amalan, akhirnya mensia-siakan si pencari ilmu.

Misalnya, ilmu perniagaan diri yang dipelajari daripada seorang usahawan dengan bayaran ribuan ringgit tetapi tidak diikuti dengan amalan akan menjadikan ilmu itu tiada harganya.

Sebab itulah, sikap mengejar kertas kelulusan demi kelulusan yang tidak berakhir dengan amalan terhadap ilmu yang dicari itu akan menjadikan seseorang itu sama seperti orang tidak berilmu langsung.

Amalanlah yang akan mengekalkan sesebuah ilmu dalam diri seseorang.

Malah, dengan amalan ilmu yang dipelajari itu memungkinkan seseorang itu meneroka dan mendasari pelbagai sudut pandang serta sisi ilmu hingga menjadi cabang-cabang ilmu baharu.

Bagaimanakah kita ingin konsisten untuk mengamalkan apa ilmu yang dipelajari? Cara paling ampuh adalah dengan menyampai dan menghebahkan ilmu yang diperoleh. Ia semudah memperkatakan mengenai ilmu yang ada.

Apabila kita kerap bercakap mengenai ilmu, mengamalkan dan bercakap mengenainya, telinga kita sendiri akan menangkap apa yang disebut lidah. Putaran itu menjadi auto-suggestion dan pengukuhan ilmu yang sebati dalam diri.

Dalam jutaan manusia memperoleh pengetahuan, hanya ratusan ribu yang menjadikan ia ilmu.

Dalam ratusan ribu yang menjadikan ia ilmu, hanya puluhan ribu yang jadikan ia amalan. Dalam puluhan ribu yang jadikan ilmu sebagai amalan, hanya belasan ribu yang menyampaikan ilmu diperoleh.

Kesimpulannya, ilmu mesti diikuti dengan amal. Amal pula diperkukuhkan dengan penyebaran ilmu itu. Penyebaran itulah yang dinamakan dakwah.

Berapa ramaikah pendakwah dalam kalangan kita berbanding dengan penyampai dakyah?

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian