Mampukah Bashar kekalkan jawatan Presiden?

Poster-poster Bashar memenuhi ibu kota Damsyik.
Poster-poster Bashar memenuhi ibu kota Damsyik.
A
A
A

WALAUPUN perang saudara masih berlaku dan mengorbankan lebih 300,000 nyawa di Syria, namun rakyat di negara itu sekali lagi akan memilih Presidennya melalui satu pilihan raya Presiden yang diadakan pada Rabu ini.

Kali terakhir pilihan raya Presiden negara itu diadakan ialah pada tahun 2014 iaitu tiga tahun selepas bermulanya peperangan saudara yang melibatkan campur tangan Iran, Rusia, Turki dan Amerika Syarikat (AS).

Ketika itu, Speaker Parlimen, Jihad Lahan mengumumkan keputusan dengan menyatakan Presiden Syria, Bashar al-Assad mengekalkan jawatan apabila memenangi pilihan raya tersebut dengan mendapat lebih 10 juta undi atau 88.7 peratus daripada keseluruhan undi.

Bashar berjaya mengalahkan dua pencabarnya iaitu Hassan al-Nouri yang hanya mendapat 4.3 peratus undi keseluruhan manakala Maher Hajjar pula memperoleh 3.2 peratus undi keseluruhan.

Jumlah yang keluar mengundi ketika itu ialah 73.42 peratus dan berikutan kemenangan itu, Bashar kekal memerintah Syria untuk tempoh tujuh tahun.

Bagaimanapun, ketika itu, pengundian hanya dilakukan di kawasan yang dikuasai oleh kerajaan sahaja manakala pihak pembangkang serta sekutunya iaitu AS mengutuk pilihan raya tersebut sebagai satu sandiwara semata-mata.

Namun, kini, keluarga Bashar yang sudah memerintah Syria lebih separuh abad akan berdepan sekali lagi dalam pilihan raya Presiden bagi menentukan sama ada beliau akan mengekalkan kuasanya.

Presiden yang berumur 55 tahun dan merupakan seorang doktor mata itu menjadi pemimpin di Syria pada tahun 2000 ekoran kematian bapanya, Hafez al-Assad yang memerintah negara tersebut secara kuku besi selama hampir tiga dekad.

Artikel Berkaitan:

Hidup Bashar berubah secara radikal apabila abangnya, Bassel yang dibimbing untuk menggantikan bapanya sebagai Presiden Syria terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya pada tahun 1994.

Justeru, beliau kemudian dibentuk oleh bapanya dalam dunia politik dan kemudian menjadi Presiden melalui satu pungutan suara sebelum memenangi pilihan raya Presiden untuk mengekalkan pemerintahannya pada tahun 2007.

Menurut AFP, Bashar berkahwin dengan isterinya, Asma yang berfahaman Sunni dan berketurunan British-Syria serta bekerja di sebuah firma perkhidmatan kewangan, J.P. Morgan selepas berkenalan ketika beliau masih menuntut di London, Britain dalam jurusan doktor.

Bashar bersama isterinya Asma.
Bashar bersama isterinya Asma.

Mengangkat sumpah jawatan Presiden ketika berumur 34 tahun, Bashar ketika itu dilihat sebagai seorang reformis dan tidak seperti bapanya yang memerintah secara kuku besi selain memperkenalkan liberalisasi ekonomi di negaranya.

Pada awal pemerintahannya, beliau pernah dilihat memandu keretanya sendiri dan makan di restoran bersama dengan isterinya selain melonggarkan beberapa sekatan ke atas rakyatnya yang pernah dilaksanakan ketika pemerintahan bapanya.

Namun, usahanya membawa pembaharuan di Syria tercalar apabila pihak berkuasa menangkap dan memenjarakan tokoh-tokoh akademik, intelektual dan beberapa lagi aktivis yang menentang kepimpinannya.

Apabila kebangkitan penduduk Arab berlaku di Syria pada Mac 2011, siri tunjuk perasaan aman diadakan bagi meminta supaya pembaharuan pentadbiran dilakukan di negara tersebut.

Bashar yang juga ketua tertinggi angkatan tentera negara berkenaan kemudian memberikan reaksi balas dengan mengarahkan satu tindakan balas dilakukan secara ganas ke atas para penunjuk perasaan menyebabkan perang saudara meletus.

Walaupun perang tersebut telah meragut nyawa lebih 300,000 orang kebanyakannya penduduk Syria dan menyebabkan separuh daripada penduduk negara tersebut hilang tempat tinggal, Bashar masih kekal berkuasa di tanah airnya.

Jumlah penduduk di Syria pada tahun 2011 ialah lebih 21 juta sebelum merosot kepada lebih 17 juta setakat ini.

Justeru, seorang penyelidik di Damsyik yang enggan namanya disiarkan berkata kepada AFP bahawa personaliti Presiden Syria itu memainkan peranan penting bagi kelangsungan kerjaya politiknya.

Foto keluarga Bashar bersama bapanya yang juga bekas Presiden Syria, Hafez al-Assad (depan kanan).
Foto keluarga Bashar bersama bapanya yang juga bekas Presiden Syria, Hafez al-Assad (depan kanan).

Dalam pilihan raya Presiden kali ini, sebanyak tiga calon termasuk Bashar yang merupakan bapa kepada tiga orang anak bertanding bagi merebut jawatan itu.

Beliau akan berdepan dengan dua pencabar iaitu bekas menteri, Abdallah Salloum Abdallah dan anggota sebuah kumpulan pembangkang, Pembela Demokratik Kebangsaan, Mahmoud Merhi.

Dalam pada itu, di ibu negara Syria, Damsyik, poster-poster Bashar diletakkan di beberapa jalan raya dan dataran utama serta bilangannya lebih banyak berbanding dua pencabar beliau.

Seorang penganalisis politik di Asia Barat, Fabrice Balanche berkata kepada AFP bahawa melalui pilihan raya tersebut, Bashar cuba untuk membuktikan bahawa institusi-institusi pentadbiran di Syria masih lagi berfungsi.

Beliau turut berkata, sebahagian penduduk Syria akan menyokong Presiden itu dan sistem pemerintahan di negara tersebut. - Agensi