Kehidupan sukar bukan mahu raih simpati

Azhar bersama seorang teman yang mengunjunginya baru-baru ini. Foto: FB Azhar Mohd Sharif
Azhar bersama seorang teman yang mengunjunginya baru-baru ini. Foto: FB Azhar Mohd Sharif
A
A
A

BEKAS bintang bola sepak negara era 80-an Azhar Mohd Sharif enggan orang ramai bersimpati dengan situasi sukar dialaminya selepas menjadikan sebuah rumah di lereng bukit di Kampung Kemensah, di sini, sebagai tempat tinggal.

Duda berusia 56 tahun itu yang pernah beraksi bersama Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, Mendiang Datuk R Arumugam dan Zainal Abidin Hassan ketika mewakili Selangor satu ketika dahulu, berkata ia antara ikhtiar hidup yang dilakukan selepas terkesan impak pandemik Covid-19.

Menerangkan keadaan kehidupannya kini, Azhar bersyukur masih diberi kekuatan untuk membuat kerja sampingan dengan mengambil upah menjaga reban ayam milik rakannya yang juga pemilik rumah diduduki itu, selain mengharapkan bantuan zakat setiap bulan.

"Walaupun dalam keadaan begini saya masih boleh berdikari, saya terima takdir yang sudah tertulis tetapi jika ada mana-mana pihak ingin membantu terpulang kepada mereka. Cuma saya tidak mahu orang ambil kesempatan atau pun ia menyebabkan orang mengata.

"Saya dan anak terkejut apabila membaca artikel yang tular seolah keadaan begitu teruk sekali. Saya tidak terfikir untuk dilihat sebagai meminta simpati mana-mana pihak tetapi macam saya cakap, saya tidak akan tolak kalau ada bantuan dihulurkan," katanya pada Selasa

Media tempatan sebelum ini melaporkan Azhar hidup melarat dan tinggal di sebuah rumah usang di dalam hutan sekali gus mencetuskan tanda tanya apakah tiada sebarang bantuan disalurkan kepada bekas pemain itu.

Menurut Azhar, penularan Covid-19 sejak tahun lalu menyebabkannya hilang punca pendapatan sebagai jurulatih beberapa pasukan komuniti sekitar Gombak sekali gus mengambil keputusan tinggal di rumah itu.

Jelasnya yang kini lebih minat untuk mendalami ilmu agama serta tidak kisah jika ditempatkan di mana-mana pusat pembelajaran agama sekitar Lembah Klang, beliau sering didatangi anak perempuan tunggalnya bersama menantu yang akan membawa pelbagai bekalan keperluan asas.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang memiliki Lesen Kejurulatihan B Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut mengakui sering dibantu rakan-rakannya termasuk bekas pemain negara, namun tidak terkilan apabila tidak pernah menerima bantuan daripada mana-mana persatuan bola sepak dalam negara.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingan ketika dihubungi berkata, FAM tidak pernah mengabaikan kebajikan bekas pemain kebangsaan yang memerlukan.

"Saya yakin jika kami berhubung dengan beliau, kita dapat cari jalan untuk menampung keperluan beliau. Saya akan dapatkan maklumat terperinci dan dapat bercakap dengan beliau sendiri dengan secepat mungkin,” katanya.

Sepanjang karier sebagai pemain, Azhar pernah merangkul kejuaraan Piala Malaysia bersama skuad Gergasi Merah sebanyak dua kali iaitu pada edisi 1984 dan 1986, selain membantu Malaysia menjuarai Pestabola Merdeka 1986.