Individu masuk Sabah perlu jalani ujian RT-PCR

No Image Caption
A
A
A

KOTA KINABALU - Semua individu yang memasuki Sabah perlu menjalani ujian RT-PCR Covid-19 dalam tempoh lima hari sebelum melakukan perjalanan, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun.

Beliau berkata hanya individu yang tidak bergejala dengan keputusan ujian negatif akan dibenar memasuki Sabah dan perlu menjalani kuarantin 14 hari mengikut ketetapan kerajaan negeri.

"Individu dari Sabah yang mahu ke Labuan pula perlu menjalani ujian RT-PCR Covid-19 dalam tempoh tiga hari sebelum masuk ke Labuan manakala individu dari Sabah yang mahu memasuki Sarawak dan Semenanjung tidak perlu menjalani ujian RT-PCR berdasarkan ketetapan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia," menurutnya dalam kenyataan malam Selasa.

Masidi yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan Covid-19 berkata, pergerakan rentas daerah bagi tujuan pergi dan balik ke tempat kerja adalah dibenarkan dengan syarat individu terbabit menunjukkan surat kebenaran majikan.

"Rentas daerah juga dibenarkan untuk tujuan mendapatkan suntikan vaksin Covid-19, tujuan kembali ke universiti, pulang ke kediaman tetap setelah menjalani kuarantin, urusan mahkamah dan menghadiri temu duga kerja dengan menunjukkan dokumen yang berkaitan.

"Untuk tujuan lain seperti menziarahi kematian ahli keluarga terdekat, kecemasan dan pasangan jarak jauh pula perlu mendapatkan permit daripada pihak polis untuk merentas daerah," katanya.

Masidi juga berkata, Sabah pada Selasa merekodkan satu kluster baharu iaitu Kluster Kalabakan Selatan di Kalabakan yang merupakan kluster tempat kerja melibatkan pekerja Ladang FGV Holdings Kalabakan Selatan.

"Kes indeks merupakan seorang lelaki berusia 55 tahun, yang juga pengurus ladang itu, disahkan positif Covid-19 hasil saringan bergejala di klinik swasta pada 20 Mei sebelum 21 lagi kes positif dikesan dalam kalangan kontak rapat, menjadikan jumlah kumulatif 22 kes setakat hari ini (Selasa).

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan maklumat awal, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika menziarahi rumah pekerja di kuarters Ladang FGV Holdings Kalabakan Selatan pada Aidilfitri," katanya.

Mengulas perkembangan Covid-19 di Sabah, beliau berkata, sebanyak 266 kes baharu positif Covid-19 direkodkan di negeri itu pada Selasa, menjadikan jumlah kumulatif 60,828 kes manakala 89 pesakit telah sembuh menjadikan jumlah kumulatif pesakit sembuh di Sabah kini 58,887 orang. - Bernama