Rakyat terbeban, kerajaan digesa laksana moratorium

Steven Sim
Steven Sim
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Kerajaan digesa memberi moratorium secara automatik kepada rakyat yang terbeban susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) sehingga 7 Jun ini.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berkata, kegagalan kerajaan menguruskan pandemik Covid-19 dengan strategi PKP yang bercelaru, tidak berpandukan sains dan data serta penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) yang pilih kasih menyebabkan kehidupan rakyat terganggu sejak Mac tahun lalu.

Menurutnya, hal itu dibuktikan apabila rakyat terpaksa mengeluarkan wang simpanan hari tua menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk kesinambungan hidup.

"Rakyat terpaksa mengeluarkan RM78 bilion daripada KWSP melalui program i-Sinar dan i-Lestari untuk meneruskan hidup. Perkara ini dilaporkan sendiri Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

"Persoalannya sekarang, mengapa bank tidak boleh berbelanja RM6.4 bilion untuk memberikan moratorium automatik selama enam bulan sedangkan rakyat perlu berkorban mengeluarkan wang simpanan hari tua mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambahnya, pada waktu ini, rakyat begitu terdesak apabila kurangnya bantuan kerajaan sehingga terpaksa menggunakan wang yang sepatutnya disimpan untuk hari tua.

"Sejak PKP 3.0 diumumkan, kerajaan gagal mengumumkan sebarang bantuan kepada rakyat dan sektor ekonomi yang terjejas.

"Bantuan paling asas yang diumumkan semasa PKP 1.0 dulu iaitu moratorium pembayaran balik pinjaman bank secara automatik untuk tempoh enam bulan juga gagal dilaksanakan semula walaupun digesa berkali-kali oleh pembangkang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, keengganan kerajaan mengarahkan pelaksanaan moratorium automatik ini jelas membuktikan bahawa kerajaan lebih mementingkan bank berbanding rakyat serta perniagaan kecil dan sederhana.

"Kerajaan pernah melaporkan bahawa moratorium secara automatik selama enam bulan menyebabkan kerugian berjumlah RM6.4 bilion kepada sektor perbankan. Namun, pada 2019, sektor perbankan secara keseluruhannya mencatatkan keuntungan RM36 bilion.

"Sementara itu, bagi tahun lalu pula, walaupun dengan moratorium automatik selama enam bulan dan kemudiannya moratorium bersasar, 10 bank utama negara tetap mencatatkan keuntungan sebanyak RM22 bilion (tiada data untuk keseluruhan sektor perbankan)," katanya.

Katanya, adalah menjadi persoalan besar apabila kerajaan tidak mengarahkan sektor perbankan untuk melaksanakan moratorium ketika pelaksanaan PKP 3.0 ini.

"Jika rakyat terpaksa berbelanja RM78 bilion wang simpanan hari tua mereka, mengapa kerajaan tidak sanggup untuk mengarahkan sektor perbankan yang mempunyai keuntungan berpuluh bilion ringgit membelanjakan RM6.4 bilion demi meringankan beban rakyat.

"Apa yang susah sangat untuk sektor ini mengorbankan RM6.4 bilion demi membantu rakyat yang tengah meredah ekonomi yang amat sukar ini?" katanya.

10 Mei lalu, kerajaan bersetuju melaksanakan PKP di seluruh negara bermula 12 Mei sehingga 7 Jun depan.

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan Covid-19.

Keputusan itu dibuat berdasarkan trend kes-kes harian Covid-19 yang semakin meningkat.