PJS nasihat Masca selesai konflik secara baik

Ibrahim
Ibrahim
A
A
A

PERSATUAN Kanu Malaysia (Masca) dinasihatkan supaya mengadakan perbincangan bagi menyelesaikan konflik berhubung mesyuarat agung tahunan (AGM) yang diadakan secara maya Ahad lalu.

Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof berkata, pihaknya sebelum ini telah menasihatkan persatuan itu menangguhkan AGM berikutan kekosongan jawatan presiden selepas Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin melepaskan jawatan pada April tahun lalu, namun terpulang kepada Masca untuk meneruskan mesyuarat itu.

“Sama ada sah atau tidak tertakluk kepada tafsiran perlembagaan Masca. Tafsiran berbeza inilah sebab tercetusnya isu pengisian jawatan Presiden dan pemangku Presiden, yang membawa kepada anggapan berbeza mengenai AGM,” katanya ketika dihubungi.

Presiden Persatuan Kanu Negeri Terengganu Dzulkafli Abas sebelum ini mendakwa AGM itu sebagai ‘tidak sah’ kerana mengikut perlembagaan Masca, sekiranya seseorang ahli jawatankuasa meninggal dunia atau meletak jawatan, calon yang mendapat undian kedua tertinggi perlu dipanggil mengisi kekosongan itu.

Bagaimanapun, Dzulkafli berkata beliau tidak dipanggil berbuat demikian sebaliknya Timbalan Presiden Datuk Michael Wong Meng San telah memangku jawatan sehingga AGM diadakan.

“Saya telah menghantar surat kepada PJS mengenai perkara ini yang mana mereka menasihatkan supaya AGM ditangguh sehingga pertikaian diselesaikan,” katanya.

Pada Ahad lalu, Wong yang mewakili Persatuan Kanu Johor menang tanpa bertanding pada pemilihan bagi tempoh 2021-2023, serta jawatan lain yang diisi tanpa pertandingan setelah beberapa calon menarik diri menyaksikan Raja Sharhrul Azremel Raja Sahar (Kuala Lumpur) mengisi kerusi Timbalan Presiden, manakala Muhamad Mohd Hanif (Pulau Pinang) dan Majais Bujang (Sarawak) masing-masing Naib Presiden I dan II.

Sementara itu, Wong ketika dihubungi menjelaskan bahawa Dzulkafli tidak dipilih untuk mengisi jawatan nombor satu itu kerana mesyuarat exco membuat keputusan untuk mengosongkan jawatan itu dan melantik beliau sebagai pemangku presiden.

Artikel Berkaitan:

“Keputusan itu telah dimaklumkan kepada PJS menerusi surat bertarikh 14 September lalu, manakala keputusan untuk meneruskan AGM juga telah dimaklumkan menerusi surat bertarikh 21 Mei lepas.

“AGM diteruskan kerana persiapan dan hebahan telah dibuat dengan rapi, teratur, serta majoriti ahli gabungan bersetuju dengan keputusan untuk mengadakan AGM. Sebanyak 11 daripada 14 ahli gabungan hadir pada AGM tersebut, hanya Terengganu, Selangor dan Pahang tidak hadir,” katanya. - Bernama