Heret Netanyahu ke muka pengadilan

Netanyahu didakwa bertanggungjawab mencetuskan pertumpahan darah di wilayah Palestin. - Foto Agensi
Netanyahu didakwa bertanggungjawab mencetuskan pertumpahan darah di wilayah Palestin. - Foto Agensi
A
A
A

LONDON - 'Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sewajarnya dihukum atas tindakan tidak berperikemanusiaan terhadap penduduk Palestin, kedaulatan wilayah itu dan pencerobohan ke atas kawasan suci orang Islam’.

Kenyataan tegas itu dikeluarkan Forum Muslim Eropah (EMF) pada Isnin selepas pemimpin terbabit didakwa bertanggungjawab mencetuskan pertumpahan darah di wilayah Palestin dan menyebabkan rejim Tel Aviv terjerumus ke dalam konflik terbaharu tersebut.

“Beliau telah merancang kempen ketenteraan ke atas orang awam tidak berdosa di Gaza, tindakan kekerasan polis ke atas komuniti Arab dan merosakkan serta mencemari tapak warisan dunia termasuk Masjid al-Aqsa.

“Netanyahu seharusnya diheret ke muka pengadilan dan diadili mengikut undang-undang kemanusiaan antarabangsa. Kita tidak boleh membiarkan penjenayah yang berselindung di sebalik kuasa terlepas daripada hukuman walaupun pihak lain yang melakukan kekejaman itu atas arahannya,” ujar EMF.

Ia juga menggesa puak Palestin, pertubuhan Yahudi dan kumpulan hak asasi manusia di Eropah dan Amerika bersatu untuk mengheret Netanyahu ke mahkamah untuk menegakkan keadilan dan membela nasib penduduk Palestin.

EMF turut menyambut baik keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang melancarkan siasatan rasmi ke atas jenayah Israel di wilayah Palestin.

Sementara itu, kira-kira 163 universiti dan tokoh akademik di Iran menggesa Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres supaya mengambil tindakan tegas terhadap jenayah perang yang dilakukan rejim Zionis di Genting Gaza.

Gesaan itu dibuat selepas Majlis Hak Asasi Manusia PBB (OHCHR) bakal mengadakan sidang khas pada Khamis untuk membincangkan situasi di wilayah Palestin.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, angka korban kekejaman rejim Zionis di Genting Gaza yang berakhir pada Jumaat lalu telah meningkat kepada 253 orang.

Data dikemas kini yang diumumkan Kementerian Kesihatan di Gaza menunjukkan kira-kira 1,948 dilaporkan cedera termasuk 20 orang berada dalam keadaan kritikal.

Kementerian itu memaklumkan peningkatan jumlah kematian itu selepas empat lagi mayat ditemui di bawah runtuhan bangunan yang dibedil rejim Zionis dan dua pemuda meninggal dunia akibat kecederaan parah dialami mereka. - Agensi