Indonesia hasrat import jurulatih hoki dari Malaysia

Dharma. - Foto FB Dharma Raj
Dharma. - Foto FB Dharma Raj
A
A
A

PENGARAH teknikal baharu skuad hoki Indonesia, Muhammad Dharma Raj Abdullah bercadang mendapatkan khidmat jurulatih dari Malaysia dalam misi mengubah nasib sukan hoki republik itu.

Bekas ketua jurulatih pasukan hoki wanita negara itu berkata, ramai jurulatih tempatan telah menunjukkan minat untuk ke Indonesia bagi menguji kemahiran membimbing pasukan selain mencari cabaran baharu.

Beliau juga tidak teragak-agak membawa masuk ramai jurulatih dari Malaysia jika diberi peluang melakukannya memandangkan terdapat keseluruhan 34 wilayah di Indonesia dengan 17 daripadanya aktif dalam sukan hoki.

"Agak mustahil untuk saya seorang diri membangunkan hoki Indonesia, jika ada peluang membawa masuk seberapa ramai jurulatih dari Malaysia ke sini saya rasa ia sangat mudah untuk mereka (jurulatih)," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Muhammad Dharma, 51, berkata selain faktor jarak antara Malaysia dan Indonesia yang dekat, perbezaan tidak begitu ketara dari segi bahasa dan istilah juga memberi kelebihan besar kepada barisan jurulatih tempatan.

Jelasnya faktor komunikasi amat penting dalam bidang kejurulatihan dan kelebihan itu boleh menjadi antara kunci untuk berjaya di republik itu.

"Jurulatih berfasih dalam bahasa Inggeris pun bergelut dan susah untuk bertahan di Indonesia sebab rakyat negara itu hampir semua bertutur dalam bahasa Indonesia, iaitu agak sama dengan bahasa Malaysia," kata bekas pemain hoki kebangsaan itu.

Skuad hoki lelaki Indonesia kini di ranking ke-53 dunia sementara pasukan wanita di tempat ke-36.

Artikel Berkaitan:

Dharma Raj sebelum ini dilantik Federasi Hoki Indonesia sebagai pengarah teknikal pasukan kebangsaan republik itu dengan kontrak sehingga Disember 2025.

Pelantikan itu menyaksikan beliau akan melepaskan jawatan Pengarah Teknikal Hoki Wilayah Jawa Barat yang disandangnya sejak 10 bulan lalu selepas mengambil keputusan membawa diri ke Indonesia tahun lalu.

Sepanjang membimbing skuad Malaysian Tigress dari 2016-2019, pelbagai kejayaan diraih beliau antaranya pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 selain mencipta sejarah muncul naib juara Pusingan Kedua Liga Hoki Wanita Dunia 2017 dan menduduki tempat kelima pada Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang. - Bernama