Kelab penyokong teruja Vida mahu ambil alih Perak PF

Datuk Seri Vida sebelum ini pernah menjadi penaja TRW.
Datuk Seri Vida sebelum ini pernah menjadi penaja TRW.
A
A
A

DUA kelab penyokong Perak FC teruja dengan ura-ura usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman akan mengambil alih kepimpinan kelab tersebut sekali gus mencorak masa depan lebih baik untuk arena bola sepak di negeri ini.

Presiden Perak Die Hard Fan, Roslan Mat Baharom berkata, ini kerana sehingga kini Perak FC masih berdepan masalah berkaitan isu pembayaran gaji para pemain dan staf kejurulatihan mereka.

"Pada masa sekarang ini tiada siapa yang mampu untuk melabur berjuta-juta terutama dalam sesebuah kelab bola sepak. Jadi kalau sudah ada yang berminat, kenapa tidak ambil beliau untuk jadi bos dalam Perak FC.

"Kalau beliau ambil alih secepat mungkin pun bagus jugalah," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Roslan berkata, hasrat yang dikemukakan Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida itu juga seharusnya dibincangkan ke meja rundingan bersama pihak pengurusan Perak FC bagi memuktamadkan sebarang kata putus.

"Dalam perbincangan itu pengurusan Perak boleh letakkan syarat-syarat atas persetujuan bersama untuk Datuk Seri Vida memiliki Perak. Kita tidak mahu nanti ada isu berbangkit dan tujuan yang paling penting adalah untuk mewujudkan situasi 'menang-menang' kedua-dua pihak," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Kelab Bola Sepak Perak FC, Mohd Shairin Adenan berkata, sekiranya menerajui Perak FC, Vida perlu melantik individu yang berkelayakan dan mempunyai pengalaman luas dalam sukan bola sepak negeri untuk membantu beliau menguruskan pasukan.

Pihaknya juga berlapang dada jika Datuk Seri Vida menggunakan Perak FC sebagai platform untuk meluaskan bidang perniagaannya terutama dalam penjualan pelbagai produk kosmetik dan kecantikan.

Artikel Berkaitan:

"Kalau dengan sukan bola sepak boleh memajukan perniagaan beliau maka teruskanlah. Kita sebagai penyokong pun akan membantu. Cuma, paling penting kita nak pasukan Perak kembali digeruni dan terus kekal bersaing dalam kancah Liga Super," katanya.

Pada 19 Mei lalu, Datuk Seri Vida mengakui beliau berminat untuk menerajui Perak FC namun mahu meneliti terlebih dahulu syarat serta rundingan yang akan diadakan sebelum memuktamadkan sebarang keputusan. - Bernama