Kemelut PSM: KBS tunggu laporan penuh Pesuruhjaya Sukan

Reezal Merican. (Laporan Sukan Sinar pada 23 Mei lalu.)
Reezal Merican. (Laporan Sukan Sinar pada 23 Mei lalu.)
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menunggu laporan penuh daripada Pesuruhjaya Sukan berhubung kemelut yang melanda Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) yang dijangka dibentangkan pada Khamis ini.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, berdasarkan maklumat awal, Pesuruhjaya Sukan telah bertemu dengan persatuan sepak takraw negeri yang menarik diri serta mereka yang masih memegang jawatan dalam PSM bagi berbincang mengenai kemelut tersebut.

“Saya akan menunggu dapatan dan hasil pertemuan yang telah dibuat oleh Pesuruhjaya Sukan, biar proses tersebut selesai terlebih dahulu lagipun PSM juga mempunyai tempoh 14 hari iaitu sehingga 4 Jun ini untuk mengemukakan rayuan berhubung kes mereka.

“Sebagai menteri (KBS) saya bukan hanya perlu jaga persatuan sukan, sebaliknya pembangunan sukan itu sendiri. Jadi jika ada persatuan sukan yang menyebabkan terbantutnya pembangunan sukan, sudah tentu tindakan akan diambil.

“Lagipun soal kemelut dalam sukan, kita kena kembali dan melihat kepada proses undang-undang, peraturan dan perlembagaan (persatuan sukan),” katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Reezal Merican berkata, PSM juga ketika ini masih persatuan yang sah selagi tidak ada laporan atau aduan dibuat menyebabkan persatuan itu dibatalkan.

Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) sebelum ini menggantung sementara PSM daripada terbabit dalam sebarang aktiviti berkaitan sukan itu berkuat kuasa serta-merta atas dakwaan melanggar perjanjian untuk mematuhi segala objektif dan perlembagaan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) dan ASTAF seperti dimeterai pada 14 Mac 2008.

Sebelum ini 10 ahli gabungan PSM mengumumkan keluar daripada badan induk itu - Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak), Persatuan Sepak Takraw Negeri Johor (PSNJ), Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS), Persatuan Sepak Takraw Negeri Kedah (Pestak), Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSNT).

Artikel Berkaitan:

Turut mengikut langkah adalah Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Putrajaya (Pestap), Persatuan Sepak Takraw Perak Darul Ridzuan (Persedar), Persatuan Sepak Takraw Negeri Sarawak (PSS), Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (Pestans) dan Persatuan Sepak Takraw Negeri Sabah (Astaka).

Difahamkan, Persatuan Sepak Takraw Perlis (PSTPs) yang telah disingkirkan daripada ahli gabungan PSM pada 2018 turut memberi sokongan kepada penubuhan persatuan baharu.

Terdahulu, Reezal Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas mengadakan lawatan ke Unit rawatan rapi (ICU) Hospital Medan di Hospital Kepala Batas (HKB) bagi meninjau persiapan akhir kerana dijangka dapat beroperasi dalam minggu ini.

Reezal Merican yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang berkata pihaknya bersetuju meluluskan sejumlah peruntukan untuk menambah fasiliti sokongan di ICU Hospital Medan HKB itu. - Bernama