Imam positif Covid-19 mengaku curi-curi berjemaah dalam gelap

Shafien menunjukkan peta lokasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Pauh Lima, Bachok yang berkuatkuasa sehingga 1 Jun depan.
Shafien menunjukkan peta lokasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Pauh Lima, Bachok yang berkuatkuasa sehingga 1 Jun depan.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang imam yang positif Covid-19 mengaku ‘curi-curi’ mendirikan solat berjemaah bersama lebih 10 kariah dalam keadaan rapat dan gelap kerana menutup lampu di sebuah surau di Kampung Pauh Lima, Bachok semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Ramadan lalu.

Selain pesara berusia 60an itu, tiga lagi jemaah lelaki sebaya memberi keterangan dan pengakuan sama.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, mereka disahkan positif Covid-19 dan diambil keterangan pada 19 Mei lalu.

Katanya, siasatan dijalankan selepas laporan polis dibuat berhubung dakwaan mengatakan ada kira-kira 40 jemaah yang bersolat di dalam gelap di kampung itu hingga tercetus penularan Covid-19.

“Mereka dikatakan solat sunat tarawih secara beramai-ramai tanpa penjarakan fizikal dalam suasana gelap hampir setiap malam sepanjang bulan Ramadan lalu.

“Keterangan awal daripada empat individu termasuk seorang imam mendapati mereka mengaku solat berjemaah, rapat dan dalam keadaan gelap,” katanya kepada pemberita selepas sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini pada Selasa,

Beliau berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengambil keterangan daripada jemaah yang terdiri penduduk tempatan sekitar Kampung Pauh Lima.

“Jemaah lain belum ditemui kerana terbatas berikutan mereka positif Covid-19 dan sedang menjalani tempoh kuarantin.

Artikel Berkaitan:

“Perlu dilakukan perlahan-lahan kerana tidak mahu virus menjangkiti pegawai-pegawai saya dan keselamatan diri diutamakan dalam menyiasat kes ini,” katanya.

Surau yang didakwa digunakan oleh jemaah terdiri penduduk Kampung Pauh Lima di Bachok yang didakwa melakukan solat berjemaah secara curi-curi, rapat dan di dalam suasana gelap kerana menutup lampu.
Surau yang didakwa digunakan oleh jemaah terdiri penduduk Kampung Pauh Lima di Bachok yang didakwa melakukan solat berjemaah secara curi-curi, rapat dan di dalam suasana gelap kerana menutup lampu.

Ujarnya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 serta Peraturan 17(1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 (Akta 342).

“Mereka yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) mencegah Covid-19 itu disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan penyakit,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan tular kumpulan kariah yang mengadakan solat jemaah secara rapat di dalam gelap di sebuah surau di Kampung Pauh Lima.

Tindakan itu dikatakan pencetus penularan Covid-19 sehingga kampung berkenaan yang bersempadanan antara daerah Kota Bharu dan Bachok terpaksa dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga 1 Jun depan.

Setakat hari ini, berdasarkan Facebook Jabatan Kesihatan Kelantan, sejumlah 284 penduduk disahkan positif Covid-19 dari Kampung Pauh Lima di mukim Banggu, Kota Bharu dan mukim Gunong daripada keseluruhan jumlah penduduk 1,032.