Letupan kereta: Bukan sebab rokok, petir atau dron

Lokasi kejadian sebuah kereta membawa muatan mercun yang meletup dan mengorbankan seorang lelaki dalam keadaan tragis di Lembah Sireh pada Jumaat lalu.
Lokasi kejadian sebuah kereta membawa muatan mercun yang meletup dan mengorbankan seorang lelaki dalam keadaan tragis di Lembah Sireh pada Jumaat lalu.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan menafikan insiden kereta bermuatan mercun meletup dan terbakar hingga mengorbankan nyawa seorang lelaki di Lembah Sireh, di sini pada Jumaat lalu berpunca daripada puntung rokok, petir atau dron.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, polis masih menunggu laporan penuh dari Unit Forensik Polis Diraja Malaysia dan Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelemat bagi mengetahui punca sebenar yang mencetuskan letupan.

Katanya, siasatan akan mengambil sedikit masa kerana itu kejadian pertama seumpama yang berlaku di Kelantan dan berkemungkinan pertama di negara ini.

“Selainnya, bahan bukti yang diambil dari lokasi kejadian adalah dalam kuantiti yang banyak dan perlu dianalisis terlebih dahulu.

“Setakat yang boleh dikatakan letupan bukan berpunca daripada puntung rokok, petir mahupun penggunaan dron di kawasan tersebut seperti yang tular,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Seorang maut, kereta bawa mercun meletup

Beliau berkata, siasatan di lokasi kejadian bukan sahaja menemui sisa serpihan mercun bola tetapi juga beberapa sampel mercun jenis papan dan bunga api stadium.

“Ada juga keterangan saksi yang menaiki kereta di belakang melihat asap keluar dari bonet belakang kereta tersebut sebelum meletup.

“Kami percaya muatan mercun yang dibawa dalam kuantiti yang terlalu banyak atau mungkin padat hingga berkemungkinan jadi punca meletup, namun kita perlu tunggu hasil laporan penuh Unit Forensik sedikit masa lagi,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan kejadian letupan kereta jenis Proton Iswara Aeroback yang membawa muatan mercun mengorbankan Wan Hassan Wan Ali, 48, dalam keadaan tragis dengan mayatnya tercampak sejauh 20 meter.

Kejadian berlaku pada 5.30 petang Jumaat lalu itu turut menyebabkan kerosakan dan memecahkan tingkap rumah penduduk serta masjid selain beberapa lagi kereta turut terbakar.

ARTIKEL BERKAITAN:Neelofa bantu penduduk terjejas insiden letupan kereta

Artikel Berkaitan: