Sila log masuk terlebih dahulu.

Kuarantin 14 hari antara sekatan tambahan pengembara ke Labuan

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Beberapa sekatan tambahan dikenakan bagi individu yang masuk ke Labuan antaranya kuarantin wajib 10 hari di rumah bagi penduduk asal Labuan dan 14 hari di hotel bagi pelawat asing dari luar negara, berkuat kuasa 27 Mei hingga 9 Jun ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kuarantin wajib 10 hari di rumah atau hotel juga dikenakan bagi penjawat awam.

“Selain itu, pengembara wajib menjalani ujian saringan Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR) tiga hari sebelum memasuki Labuan.

“Pengguna kad harian transporter diwajibkan mengambil ujian PCR setiap dua minggu dan wajib menjalani ujian Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen setiap minggu,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ismail Sabri berkata, ‘sign off’ atau turun dari kapal dibenarkan dengan 14 hari kuarantin dan wajib menjalani satu ujian RT-PCR manakala kapal kumpit ditangguhkan buat sementara waktu.

Ismail Sabri berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di beberapa lokaliti dan mukim di Perak, Johor dan Sarawak selama dua minggu berkuat kuasa 27 Mei hingga 9 Jun, susulan peningkatan kes di kawasan itu.

“PKPD di Perak melibatkan mukim Bagan Serai di Kerian. Sehingga semalam (24 Mei), sebanyak 53 kes positif telah direkodkan di lokaliti ini hasil daripada 144 ujian saringan dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"KKM juga mendapati kes semasa bertaburan dalam mukim dan tidak tertumpu dalam satu lokaliti atau kawasan dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi pada masa sama, kadar insiden telah meningkat daripada 42.5 pada minggu EPID 20 kepada 62.6 pada minggu EPID 21. Pelaksanaan PKPD ini dapat mengurangkan pergerakan penduduk dalam dan luar mukim serta pergerakan merentas ke negeri jiran,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi pelaksanaan di PKPD di Johor, Ismail Sabri berkata, ia melibatkan Felda Redong 1, Mukim Labis di Segamat dan kes didapati telah menular ke seluruh lokaliti tersebut dengan kadar kebolehjangkitan masih tinggi.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 361 ujian saringan dan 67 daripadanya disahkan positif. Pelaksanaan PKPD ini memudahkan KKM menjalankan pengesanan awal kes serta mengurangkan pergerakan penduduk ke luar dari lokaliti itu,” katanya.

Sementara itu, pelaksanaan PKPD di Daro, Sarawak pula melibatkan Rumah Panjang Isa Anak Blone, Rumah Panjang Ben Anak Kuleng dan Sekolah Kebangsaan Telok Gelam.

“KKM melaporkan terdapat peningkatan kes secara mendadak dalam masa satu minggu apabila sebanyak 12 kes positif direkodkan hasil saringan ke atas 153 orang di tiga lokaliti tersebut dan pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas penduduk yang terlibat dan seterusnya mengekang penularan Covid-19 ke kawasan lain,” katanya.

Mengenai penamatan PKPD, Ismail Sabri berkata, PKPD di Ulu Lepar, Mukim Gali, Raub, Pahang yang dijadualkan tamat pada 31 Mei, ditamatkan lebih awal iaitu pada esok (26 Mei) dan KKM telah melakukan 47 ujian saringan dengan 11 individu disahkan positif.

“KKM juga mengesahkan trend kes menunjukkan penurunan dan kluster adalah terkawal manakala semua kes positif telah dirawat.

“PKPD di tiga perkampungan dalam Mukim Tras dan lima penempatan sekitar Sungai Klau iaitu Taman Sungai Klau, Taman Maju Sungai Klau, Taman Kelau Jaya, Taman Harmoni dan Kampung Sungai Klau di Raub, juga tamat pada 26 Mei seperti yang dijadualkan.

Ismail Sabri berkata, PKPD di kawasan Pembinaan Empangan Hidroelektrik Baleh, Kapit di Sarawak dan Maktab Rendah Sains MARA Pengkalan Hulu, Hulu Perak di Perak juga tamat esok (Rabu) seperti yang dijadualkan.

Mengenai operasi pasukan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Ismail Sabri berkata, seramai 694 individu ditahan kerana ingkar SOP pada Isnin dengan 685 individu dikompaun dan lapan orang direman manakala seorang lagi dijamin.

Katanya, antara kesalahan termasuk tiada penjarakan fizikal sebanyak sebanyak 179 kes, gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis (166), tidak memakai pelitup muka (129), rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (63), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (58) manakala lain-lain sebanyak 99 kes.