Cerita-cerita "rama"

A
A
A

PENULIS pernah menginap di asrama sekolah selama tujuh tahun dan di asrama universiti selama empat tahun. Berbekalkan pengalaman 11 tahun di asrama, penulis sungguh berminat mengumpul perkataan yang mempunyai bunyi “rama”.

Penulis ingin mengkaji maksud rama yang semakin bertambah dalam kosa kata bahasa Melayu atau yang mengalami peluasan makna. Perkataan asrama bermaksud bangunan tempat tinggal sekumpulan murid sekolah. Ketika kilang perindustrian begitu banyak dibangunkan pada tahun 90-an, tempat tinggal pekerja kilang juga dinamakan asrama.

Penulis sendiri mempunyai seorang rakan yang bernama Ramachandran ketika di asrama dahulu. Menurut Ramachandran, “rama” yang tertera pada namanya merujuk dewa dalam agama Hindu. Penulis bertanya kepada seorang rakan yang berketurunan Jawa tentang maksud rama. Rama dalam bahasa Jawa bermaksud bapa. Sungguh banyak makna rama sebenarnya.

Setiap hujung minggu di asrama, kami dibenarkan menonton televisyen. Rancangan kegemaran kami tentulah drama Melayu. Drama mempunyai dua maksud yang besar rupa-rupanya.

Maksud drama yang pertama berkaitan dengan karya dan lakonan yang kami tonton melalui televisyen. Maksud drama yang kedua ialah keadaan sebenar yang berlaku dalam masyarakat seperti peristiwa polis mengejar dan menembak penjahat.

Beberapa tahun selepas itu, perkataan drama semakin tenggelam tetapi muncul pula perkataan cerekarama. Penulis mengetahui bahawa cereka ialah akronim daripada perkataan cerita rekaan tetapi penulis musykil tentang perkataan rama yang digabungkan di hujung perkataan itu. Kemungkinan cerekarama bermaksud cerita rekaan yang dipenuhi drama.

Ketika remaja, penulis merupakan seorang ahli gimnastik yang agak baik. Penulis juga suka melihat aksi ahli gimnastik yang lain. Perkataan gimnastik sekarang ini telah digabungkan dengan perkataan irama menjadi gimrama, iaitu gimnastik berirama. Dahulu, perkataan ini tidak pernah disebut. Inilah yang dinamakan peluasan makna.

Dulu-dulu juga, penulis menyebut perkataan pemandangan apabila bercerita tentang gambaran menarik yang dilihat tetapi perkataan tersebut telah diganti dengan perkataan panorama. Hebat sungguh perkataan rama ini, tidak mampu berdiri sendiri tetapi sangat berpengaruh terhadap perkataan lain.

Artikel Berkaitan:

Ketika berada di universiti pula, setiap tahun diadakan program sukan dan kebudayaan. Penulis merupakan salah seorang peserta yang mewakili asrama ketika itu. Bagi menampakkan kemeriahan, program ini dinamakan pestarama. Apabila disebut program sukan dan kebudayaan, seolah-olah tidak bermaya sahaja tetapi jika disebut pestarama, terus terasa gahnya program ini.

Sungguh berkuasa perkataan rama ini. Sekali-sekala pihak universiti menganjurkan persembahan nyanyian, tarian, dan sketsa. Persembahan ini pula dinamakan anekarama. Sekali lagi, perkataan rama memainkan peranan di sini.

Ketika belajar dahulu, penulis dan rakan-rakan kurang memberikan tumpuan dalam bidang kokurikulum. Guru-guru yang bijaksana menukarkan perkataan kokurikulum kepada perkataan gerkorama. Disebabkan perkataan gerkorama ini, penulis terus menjadi amat berminat dalam bidang kokurikulum. Perkataan rama seolah-olah mempunyai kuasa luar biasa.

Tiba-tiba sahaja, penulis teringat seorang rakan baik penulis yang bernama Ruzlan Hamat. Beliau sangat berminat memelihara ayam. Ayam-ayamnya luar biasa dan sangat cantik kerana mampu berdiri dan membusungkan dada seperti manusia. Nama ayam tersebut ialah ayam serama. Perkataan rama wujud juga di situ.

Perkataan serama juga membawa maksud yang lain selain merujuk ayam seperti yang diminati oleh sahabat penulis itu. Serama yang satu lagi bermaksud gendang yang mempunyai dua permukaan. Satu permukaan dipukul menggunakan tangan kosong manakala satu bahagian lagi dipukul dengan menggunakan pemukul khas.

Penulis teringat suatu ketika dahulu penyanyi Ella popular dengan lagu berjudul Rama-rama, penulis dapat menyanyikan lagu itu dengan sempurna. Rama-rama dalam lirik lagu tersebut merujuk serangga yang mempunyai sayap cantik pelbagai warna.

Keseluruhannya, terdapat 15 perkataan yang mempunyai kata “rama” dalam bahasa Melayu setakat ini. Perkataan ini akan semakin meluas menjadikan bahasa Melayu sentiasa relevan di persada dunia.

* Ruangan ini dikelolakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka