X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Saman fitnah: Raja Petra diarah bayar RM600,000 kepada Guan Eng

Lim Guan Eng - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng memperoleh ganti rugi sebanyak RM600,000 dalam kes saman fitnahnya terhadap penulis blog Raja Petra Raja Kamarudin berhubung beberapa siri artikel dakwaan rasuah dalam projek terowong bawah laut Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Arief Emran Arifin membuat perintah itu semasa memutuskan taksiran ganti rugi yang diperoleh Guan Eng pada prosiding secara dalam talian pada Selasa.

Peguam Simon Murali, yang mewakili Guan Eng, ketika dihubungi berkata mahkamah memerintahkan Raja Petra membayar ganti rugi am dan teruk sebanyak RM600,000 serta kos RM10,000 kepada anak guamnya.

"Mahkamah juga memerintahkan defendan (Raja Petra) membayar faedah lima peratus setahun daripada tarikh pemfailan writ saman pada 6 September 2019 hingga penyelesaian penuh kes," katanya.

Semasa prosiding taksiran ganti rugi pada 14 April lepas, Lim dalam keterangannya menuntut ganti rugi am sebanyak RM20 juta susulan penerbitan 20 artikel dalam versi Bahasa Inggeris dan Melayu oleh portal Malaysia Today milik Raja Petra bermula Februari 2019.

Setiausaha Agung DAP itu juga menuntut ganti rugi teruk dan teladan masing-masing berjumlah RM500,000.

Pada 28 Februari tahun lepas, Guan Eng, 61, memperoleh penghakiman ingkar selepas Raja Petra tidak memasukkan kehadiran bagi menjawab saman yang dikemukakan terhadapnya.

Guan Eng memfailkan permohonan bagi mendapatkan penghakiman ingkar selepas Raja Petra gagal memberi maklum balas terhadap notis saman yang diiklankan melalui tiga akhbar pada 10 Februari 2020.

Sebelum itu, Guan Eng cuba menyerahkan writ saman dan penyataan tuntutan kepada Raja Petra melalui perkhidmatan peribadi di alamat terakhir penulis blog tersebut yang diperoleh daripada Jabatan Pendaftaran Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya namun gagal.

Guan Eng memfailkan saman fitnah berhubung penerbitan satu siri artikel ‘Dari Fail SPRM’ dalam versi Bahasa Inggeris dan Melayu oleh Malaysia Today antara 24 Februari dan 15 Mac 2019.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!