Harga ayam di Kedah masih rendah

Isu kenaikan harga ayam hingga mencecah RM9.50 sekilogram tidak berlaku di Kedah termasuklah Kota Setar yang dikenakan PKPD. Gambar kecil: Mohd Yusrizal
Isu kenaikan harga ayam hingga mencecah RM9.50 sekilogram tidak berlaku di Kedah termasuklah Kota Setar yang dikenakan PKPD. Gambar kecil: Mohd Yusrizal
A
A
A

ALOR SETAR - Isu kenaikan harga ayam hingga mencecah RM9.50 sekilogram tidak berlaku di Kedah termasuklah Kota Setar yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Setiausaha Persatuan Pengguna Negeri Kedah (Cake), Mohd Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya mendapati harga ayam di Kedah masih stabil dan berpatutan ketika ini.

Katanya, harga ayam didapati dijual antara RM7.30 hingga RM8.30 sekilogram melalui pemantauan di beberapa lokasi termasuklah Pasar Simpang Kuala, Pasar Teluk Wanjah dan Hutan Kampung.

"Kita tidak berdepan dengan masalah harga ayam naik sehingga mencecah RM9.50 sekilogram seperti mana berlaku di Pulau Pinang, Johor, Terengganu dan Pahang.

"Situasi itu berbeza di Kedah terutamanya di kawasan dikenakan PKPD seperti Kota Setar dan sembilan lokaliti di Jitra kerana harga ayam murah semula," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Mohd Yusrizal berkata, harga ayam masih pada kadar lama dan dijangka turun lebih murah lagi memandangkan ramai tidak berani ke pasar basah untuk membeli barangan tersebut.

"Pengguna makin kurang ke pasar basah disebabkan bimbang jangkitan Covid-19 dan ada peniaga makanan mengurangkan pembelian bekalan ayam sehingga 50 peratus untuk kedai makan ataupun restoran mereka," katanya.

Katanya, ada pembekal memaklumkan jualan ayam merosot daripada 1,200 ekor kepada sekitar 700 ekor disebabkan ada kedai makan langsung tidak beroperasi ketika PKPD.

Artikel Berkaitan:

"Jadi, mereka tidak berani menjual ayam dengan harga tinggi, sebaliknya pada harga murah sahaja dan harga daging juga masih pada kadar lama sekitar RM34 hingga RM38 sekilogram," katanya.