Suami isteri edar dadah kena cekup

Polis merampas dadah dan peralatan memproses dadah susulan tangkapan tiga individu dalam operasi di ibu negara dan Negeri Sembilan, Jumaat lalu.
Polis merampas dadah dan peralatan memproses dadah susulan tangkapan tiga individu dalam operasi di ibu negara dan Negeri Sembilan, Jumaat lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sepasang suami isteri dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah antara tiga individu ditahan polis di sini dan Port Dickson, Negeri Sembilan pada Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Adnan Azizon berkata, suspek lelaki pertama berusia 34 tahun ditahan dalam operasi JSJN Kuala Lumpur serta JSJN Negeri Sembilan di tempat letak kenderaan di sebuah kondominium di pusat bandar pada jam 5.49 petang.

Menurutnya, hasil soal siasat, pihaknya berjaya menahan dua lagi individu yang juga pasangan suami isteri berusia 49 dan 40 tahun di sebuah rumah di Taman PD Seraya, Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Hasil serbuan itu, kami merampas dadah jenis syabu seberat 1.14 kilogram (kg), serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) seberat 4.70 kg dan pil ekstasi seberat 1.72 kg selain wang tunai berjumlah RM515,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, susulan penangkapan itu, satu lagi serbuan dilakukan di sebuah hotel di Jalan Seremban, Port Dickson dan menemui pelbagai peralatan yang disyaki digunakan untuk memproses dadah.

Katanya, keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM424,388 itu boleh dibekalkan kepada kira-kira 7,554 penagih.

“Siasatan mendapati pasangan suami isteri terbabit menyewa rumah di Port Dickson dengan bayaran sewa RM1,500 sejak enam bulan lalu," katanya.

Tambahnya, dengan tangkapan suspek terbabit, pihaknya berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang didalangi warga tempatan yang dikesan aktif di sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan.

Artikel Berkaitan:

“Semua suspek direman selama tujuh hari bermula 21 hingga 27 Mei ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.