Maritim rampas 57 set bubu naga

Sebanyak 57 bubu naga dirampas dalam operasi di perairan Kuala Kedah dan Kuala Sala.
Sebanyak 57 bubu naga dirampas dalam operasi di perairan Kuala Kedah dan Kuala Sala.
A
A
A

KUALA KEDAH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Zon Maritim Kuala Kedah merampas 57 set bubu naga dalam operasi pemantauan selama seminggu di perairan Kuala Kedah dan Kuala Sala.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, pemantauan yang berakhir semalam itu dilakukan selepas menerima aduan awam mengenai aktiviti dan penggunaan bubu naga yang aktif di perairan Kedah.

Beliau berkata, Maritim mengesan aktiviti itu melalui penemuan penanda yang dipasang di setiap bubu naga berukuran kira-kira 10 meter panjang di beberapa lokasi berbeza sepanjang perairan negeri itu.

"Kesemua bubu yang dirampas dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985.

"Nilai rampasan kesemua bubu naga dalam operasi selama seminggu dianggarkan kira-kira RM6,840," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Anggota Maritim Zon Maritim Kuala Kedah merampas 57 set bubu kambang atau bubu naga dalam operasi pemantauan di perairan Kuala Kedah dan Kuala Sala.
Anggota Maritim Zon Maritim Kuala Kedah merampas 57 set bubu kambang atau bubu naga dalam operasi pemantauan di perairan Kuala Kedah dan Kuala Sala.

Katanya, penggunaan bubu naga diharamkan kerana boleh merosakkan ekosistem perairan dan menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain.

Dalam perkembangan sama, Noor Azreyanti berkata, nelayan diingatkan mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan.

Artikel Berkaitan:

"Zon Maritim Kuala Kedah tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dalam kawasan perairan negara,"katanya.

Sebarang aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.