X

Kindly register in order to view this article
!

Kementerian luar sedia bantu urusan jemaah haji

Kementerian Luar sedia membantu menyelaraskan urusan jemaah Haji Malaysia mengikut bidang kuasa kementerian itu sekiranya Kerajaan Arab Saudi membenarkan ibadah itu dilaksanakan tahun ini. - Gambar hiasan.
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Luar sedia membantu menyelaraskan urusan jemaah Haji Malaysia mengikut bidang kuasa kementerian itu sekiranya Kerajaan Arab Saudi membenarkan ibadah itu dilaksanakan tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, buat masa ini Malaysia masih menunggu pengumuman rasmi daripada kerajaan Arab Saudi berhubung perkara itu.

"Sekiranya ibadah haji dibenarkan dan ia turut melibatkan umat Islam dari luar Arab Saudi, kita perlu meneliti jumlah keseluruhan jemaah Haji dari seluruh dunia yang dibenarkan serta kuota untuk jemaah haji Malaysia," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Selain itu beliau berkata, setiap agensi dan pihak berkuasa terlibat perlu bekerjasama bagi memastikan rakyat Malaysia yang akan ke tanah suci untuk mengerjakan ibadah haji tahun ini mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) termasuk berkaitan keperluan vaksinasi yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi.

Menurut Hishammuddin, beliau senada dengan kenyataan dikeluarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri semalam mengenai pelaksanaan ibadah haji.

Zulkifli berkata, kerajaan dan Lembaga Tabung Haji (TH) masih menunggu pengumuman rasmi daripada Kerajaan Arab Saudi berkaitan jumlah kuota jemaah haji negara, kriteria pemilihan dan kaedah pelaksanaan ibadah untuk musim haji kali ini. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!