X

Kindly register in order to view this article
!

61.5 peratus penduduk Malaysia dibanci setakat 25 Mei

Mohd Uzir Mahidin
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 20.1 juta atau 61.5 peratus penduduk di Malaysia telah dibanci dalam Banci Malaysia 2020 sehingga Selasa berbanding anggaran 32.7 juta pada tahun lalu.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, setakat ini tiga negeri mencatatkan respons bilangan penduduk tertinggi iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya sebanyak 101.4 peratus, diikuti Perlis (89.8 peratus) dan Johor (84.3 peratus).

Menurutnya, Sabah merekodkan respons terendah daripada bilangan penduduk iaitu sebanyak 38.8 peratus, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (45.2 peratus), Sarawak (46.2 peratus) dan Pahang (47.9 peratus).

“Selebihnya ialah Melaka (78.3 peratus), Kelantan (77.1 peratus), Terengganu (72.5 peratus), Perak (72.3 peratus), Negeri Sembilan (68.2 peratus), Pulau Pinang (63.7 peratus), Selangor (62.4 peratus), Wilayah Persekutuan Labuan (54.3 peratus) dan Kedah (53.5peratus).

“Dari segi Tempat Kediaman (TK) pula, sebanyak 7.1 juta atau 78.9 peratus daripada 9.0 juta anggaran TK telah diliputi dalam Banci Malaysia, manakala 5.4 juta atau 66.0 peratus daripada 8.2 juta Isi Rumah telah selesai menjawab soalan Banci,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, sebanyak 50.8 peratus daripada dapatan 20.1 juta penduduk Malaysia yang direkodkan dalam bancian berkenaan adalah lelaki, manakala 49.2 peratus adalah perempuan.

“Bagi statistik mengikut etnik, penduduk bumiputera mencatatkan peratusan tertinggi sebanyak 71.1 peratus, diikuti oleh etnik Cina (21.9 peratus), India (6.2 peratus) dan lain-lain (0.7 peratus).

“Dari segi kumpulan umur, dapatan daripada 20.1 juta penduduk Malaysia menunjukkan 6.3 peratus adalah dalam kalangan penduduk berumur 65 tahun dan ke atas, 69.7 peratus adalah umur bekerja (15 hingga 64 tahun) dan 23.9 peratus dalam kalangan umur muda (0 hingga 14 tahun).

“Warga emas berumur 65 tahun dan ke atas yang tertinggi dicatatkan di Perak iaitu 10.7 peratus. Penduduk umur bekerja iaitu 15 hingga 64 tahun yang tertinggi dicatatkan di Pulau Pinang sebanyak 74.2 peratus,” jelasnya.

Mohd Uzir berkata, Wilayah Persekutuan Putrajaya pula mencatatkan peratusan umur muda tertinggi bagi individu berumur 0 hingga 14 tahun iaitu sebanyak 36.5 peratus.

Menurutnya, susulan daripada penangguhan Banci Malaysia 2020 secara bersemuka, orang ramai yang masih belum membuat pengisian banci diminta untuk memberikan kerjasama dengan mengisi maklumat melalui e-Census atau sistem panggilan telefon Computer Assisted Telephone Interview (CATI).

"Dapatan Banci Malaysia 2020 sangat penting kepada kerajaan dalam merangka dasar dan pembangunan negara pada masa hadapan.

“Secara tidak langsung, keperluan dan kesejahteraan hidup rakyat dapat dipertingkatkan sama ada dari segi kemudahan pendidikan, kesihatan, capaian internet atau kemudahan awam seperti jalan raya, rekreasi, bekalan air dan elektrik,” kata beliau.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!