Kelindan maut dalam kemalangan di LPT

Anggota bomba dari BBP Maran membantu memadam kebakaran treler yang membawa muatan besi buruk. - Foto FB JBPM Pahang
Anggota bomba dari BBP Maran membantu memadam kebakaran treler yang membawa muatan besi buruk. - Foto FB JBPM Pahang
A
A
A

KUANTAN - Seorang kelindan maut selepas treler yang dinaiki melanggar bahagian belakang sebuah treler lain yang mengalami kerosakan akibat terbakar di Kilometer 171.3 Lebuhraya Pantai Timur 1(LPT1) arah timur dekat Maran pada awal pagi Selasa.

Dalam kemalangan kira-kira jam 4.40 pagi itu, mangsa, Muhammad Fauzi Sardi, 31 dari Sungai Pelek, Selangor disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Bagaimanapun pemandu treler jenis Hino yang dinaiki mangsa, Johari Saleh, 51, yang beralamat dari Rembau, Negeri Sembilan dilaporkan cedera di bahagian kepala, tengkuk dan bahu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh@ Mohamad Daud berkata, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati, treler dinaiki mangsa dalam perjalanan dari arah Temerloh menghala ke Kuantan.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi, pemandunya dipercayai gagal mengelak dan melanggar belakang sebuah treler yang berhenti di tepi laluan akibat terbakar dalam kejadian sebelum itu.

"Treler jenis Volvo membawa muatan besi buruk dilaporkan terbakar kira-kira jam 3.40 pagi sebelum dipadamkan oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Maran.

"Treler tersebut belum sempat dialihkan dan dirempuh sebuah treler yang dinaiki mangsa sejam kemudian," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Kamarulzaman berkata, akibat kejadian, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakal pemandu treler jenis Volvo tidak mengalami sebarang kecederaan.

Artikel Berkaitan:

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jengka untuk proses bedah siasat manakala pemandu yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh untuk rawatan lanjut.

"Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.