Najib minta Ahmad Zahid teruskan kontrak visa kepada UKSB: Saksi

Najib, Ahmad Zahid
Najib, Ahmad Zahid
A
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi pada Selasa diberitahu bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah meminta Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meneruskan kontrak syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) sebagai operator (pengendali) tunggal sistem Visa Luar Negara (VLN) ke Malaysia di China.

Bekas Ketua Penolong Setiausaha di Bahagian Hal Ehwal Imigresen, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Azman Azra Abdul Rahman @ Md Salleh berkata, permintaan itu dibuat menerusi catatan minit oleh Najib pada dua surat bertarikh 23 Mei 2013 dan 20 Januari 2014 yang dihantar kepada Ahmad Zahid, yang merupakan Menteri Dalam Negeri ketika itu.

Beliau berkata, kedua-dua surat telah dihantar oleh UKSB kepada Najib bagi memohon pertimbangan Ahli Parlimen Pekan itu untuk mengekalkan syarikat tersebut sebagai pengendali tunggal pengurusan visa ke Malaysia di China.

"Pada 23 Mei 2013, Perdana Menteri telah minit secara bertulis kepada Datuk Seri Ahmad Zahid bahawa projek ini perlu diluluskan.

“Minit bertarikh 20 Januari 2014 itu menyatakan ‘YB Datuk Sri Zahid, Sila Bantu Dalam Hal ini. Kontrak ini perlu diteruskan,’” katanya yang membacakan pernyataan saksi semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lim Wai Keong pada hari kedua perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid membabitkan kontrak VLN.

Saksi pendakwaan kedua itu berkata, pada 28 Februari 2014, satu perjanjian telah dimeterai antara UKSB dan kerajaan untuk membekalkan sistem VLN yang berkuat kuasa selama enam tahun bermula 1 November 2013 hingga 31 Oktober 2019.

“Dalam perjanjian tersebut, syarikat UKSB hendaklah membangun, mengintegrasi dan menyelenggara Sistem VLN dengan kosnya sendiri tanpa mengenakan apa-apa kos kepada kerajaan.

“Kerajaan juga membenarkan syarikat UKSB mengutip caj pada suatu kadar yang tidak melebihi kadar siling RM105 yang boleh dikenakan bagi setiap permohonan Visa Malaysia,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal, yang mewakili Ahmad Zahid, saksi itu mengakui minit yang diterima tertuduh daripada Najib ketika itu adalah berbentuk arahan.

Ahmad Zaidi: Berdasarkan pada minit itu, Datuk (Ahmad) Zahid tidak diberi pilihan, sama ada teruskan atau pertimbang semula (kontrak VLN)?

Azman Azra: Dalam minit-minit itu, tidak ada ayat pilihan.

Sementara itu, ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, saksi pendakwaan pertama iaitu Penolong Pendaftar Syarikat dan Perniagaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Muhamad Akmaludin Abdullah, 38, bersetuju bahawa maklumat yang tercatat pada sijil SSM tidak semestinya mencerminkan kewangan sebenar UKSB.

Beliau juga bersetuju dengan cadangan Wan Shaharudin bahawa ketepatan sesuatu maklumat yang dibekalkan UKSB adalah terpulang kepada syarikat itu, dan jika maklumat tersebut tidak betul, ia menjadi satu kesalahan di bawah Akta Syarikat 2016.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB sebagai dorongan untuk dirinya, sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan di Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018 mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3,000,000, Euro15,000 dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Country Heights antara Jun 2015 dan Oktober 2017 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bersambung Khamis. - Bernama