Fama bantu pasarkan tembikai, labu manis di Pahang

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Pahang terus mengambil inisiatif membantu memasarkan hasil tanaman pekebun tembikai dan labu manis di negeri ini yang berdepan masalah lambakan.

Pengurus Khidmat Pemasaran FAMA Kuantan, Mohd Faris Abdullah berkata, bermula awal tahun ini pihaknya telah membantu 18 pekebun sekitar Kuantan, Rompin dan Pekan dengan membuat pembelian 125 tan metrik tembikai yang dianggarkan bernilai RM160,000.

Menurutnya, bagi labu manis pula pihaknya telah membantu enam pekebun di Pekan bermula awal bulan ini dengan pembelian 35 tan metrik yang dianggarkan bernilai lebih RM28,000.

"Bagi peserta yang berdaftar dengan FAMA, kami membeli mengikut harga lantai iaitu 80 sen sekilogram untuk tembikai manakala 70 sen sekilogram bagi labu manis. Kami melakukan pembelian secara berperingkat, masih ada lagi pekebun yang menunggu hasil mereka untuk dibeli.

"Untuk pasaran kami sememangnya mengutamakan di sekitar Kuantan terlebih dahulu, jika terdapat lebihan kita akan agihkan kepada FAMA lain untuk bantu memasarkan buah-buahan berkenaan," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Selain memasarkan tanaman berkenaan di outlet FAMA antaranya gerai buah-buahan segar, pasar tani dan agrobazaar, Mohd Faris berkata, pihaknya turut melakukan penghantaran di FAMA Selayang dan FAMA Seremban masing-masing bagi pasaran Lembah Klang serta Negeri Sembilan.

"Bagi pembeli di Kuantan, khidmat penghantaran disediakan bagi pembelian secara borong untuk 100 kilogram ke atas dan mana-mana pihak atau individu yang berminat boleh menghubungi talian 013-2224062 untuk maklumat lanjut," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: