Kluster Simpang Juasseh jadi kes tertinggi di Kuala Pilah

Operasi sanitasi awam turut dilakukan di sekitar Pekan Juasseh, Kuala Pilah pada malam Isnin.
Operasi sanitasi awam turut dilakukan di sekitar Pekan Juasseh, Kuala Pilah pada malam Isnin.
A
A
A

KUALA PILAH - Kluster Simpang Juasseh merupakan kluster kes positif Covid-19 tertinggi di daerah ini dengan jumlah 67 kes termasuk dua kematian.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah (JKPBD) Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap berkata, bilangan kes yang tinggi ini menjadikan daerah ini zon merah pada Jumaat lalu.

"Terdapat enam lokaliti di mukim Juasseh dikenal pasti mempunyai kes positif Covid-19 yang tinggi di daerah ini setakat ini.

"Lokaliti berkenaan adalah Rumah Rakyat Juasseh, Taman Desa Permai, Taman Seri Juasseh, Taman Harmoni, Kampung Terusan dan Jalan Keretapi Lama sekali gus diisytiharkan sebagai Kluster Simpang Juasseh pada Ahad lepas," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, selain mukim Juasseh, mukim Johol turut mencatatkan kes Covid-19 yang tinggi iaitu sebanyak 37 kes melibatkan tujuh lokaliti iaitu Kampung Kabong, Inas; Kampung Senginyeh, Kampung Orang Asli Charik, Kampung Air Mawang, Rumah Rakyat Air Mawang, Taman Air Mawang dan Kampung Masjid Tua.

"Selain itu, terdapat 12 kes turut dikesan di Felda Kepis, menjadikan kumulatif kes Covid-19 sebanyak 132 kes," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Faizal berkata, pihaknya telah menjalankan operasi sanitasi awam di beberapa kawasan bagi mengelakkan penularan kes Covid-19 dibantu oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat dan SWCorp.

Artikel Berkaitan:

Pasukan khas sanitasi awam Majlis Daerah Kuala Pilah melakukan sanitasi di sekitar Pekan Juasseh pada malam Isnin.
Pasukan khas sanitasi awam Majlis Daerah Kuala Pilah melakukan sanitasi di sekitar Pekan Juasseh pada malam Isnin.

"Antara lokasi yang telah disanitasi adalah di Pekan Juasseh, Pasar Awam Juasseh, Jalan Perpatih, Jalan Tung Yen, Perhentian Bas Kuala Pilah dan Jalan Yamtuan Raden," katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, orang ramai diingatkan supaya sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan selain tidak keluar rumah jika tiada keperluan.

"Amalkan juga 'self lockdown' iaitu polisi tidak menerima kunjungan tetamu di rumah, dan saya yakin Kuala Pilah akan kembali kepada zon hijau sekiranya orang ramai patuh dengan SOP ini," katanya.

Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh, Mohd Aidil Abdullah berkata, angka kes positif Covid-19 di Juasseh diyakini akan menunjukkan penurunan ekoran disiplin yang tinggi ditunjukkan oleh penduduk setempat dalam pematuhan SOP.

"Kalau kita lihat kes meningkat ketika hari raya dan kawasan ini ibarat dilanggar garuda, namun suka saya nyatakan penduduk di sini agak berdisiplin.

"Mungkin disebabkan seorang dua atau individu yang ingkar SOP menyebabkan wabak ini meningkat sehingga tercetusnya kluster baharu iaitu Kluster Simpang Juasseh," katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas selesai operasi sanitasi awam di pekan Juasseh pada malam Isnin.