X

Kindly register in order to view this article
!

Insiden LRT: Selangor gesa hasil siasatan dikongsi

LRT Laluan Kelana Jaya mengalami kemalangan melibatkan tren bernombor 40 dan 81 pada Isnin. (Gambar kecil: Ng Sze Han)
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menggesa pihak berwajib berkongsi hasil siasatan insiden pertembungan dua buah tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya hingga mengakibatkan kecederaaan penumpang pada Isnin untuk tujuan penilaian semula prosedur dan penyelenggaraan tren.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Selangor, Ng Sze Han berkata, pihaknya ambil maklum bahawa Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan meminta pengendali sistem LRT tersebut iaitu Prasarana Malaysia Bhd untuk menjalankan siasatan menyeluruh.

Beliau menerusi satu kenyataan pada Selasa turut menggesa syarikat terbabit menilai semula prosedur operasi dan penyelenggaraan LRT, termasuk memastikan kekerapan latihan kecemasan yang mencukupi untuk menghadapi insiden seumpama ini.

“Menurut laporan, kejadian ini disebabkan pertembungan dua tren di mana salah sebuah tren tersebut telah mengalami kerosakan dan dipandu uji secara manual, yang mana ia tidak diselaraskan oleh pusat kawalan LRT.

“Kerajaan Selangor memandang serius insiden pertembungan dua buah tren LRT di dalam terowong di antara Stesen Kampung Baru dan Stesen KLCC semalam (Isnin) yang melibatkan sejumlah 213 penumpang dengan beberapa daripada mereka telah mengalami cedera parah.

“Oleh itu, hasil siasatan ini penting dibincangkan bersama dan apa yang lebih mustahak adalah penilaian semula prosedur dan penyelenggaraan tren, termasuk landasan LRT ini,” katanya di sini.

Sementara itu, Sze Han berkata, kerajaan Selangor menyasarkan untuk melipatgandakan penggunaan pengangkutan awam daripada 20 kepada 60 peratus menjelang tahun 2030 berikutan pertambahan penduduk di Lembah Klang yang semakin meningkat.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua tren LRT bertembung, penumpang cedera

Namun begitu, insiden yang berlaku pada Isnin menimbulkan kebimbangan kepada pengguna dan membantutkan inisiatif serta dorongan berterusan kerajaan Selangor untuk memastikan sistem pengangkutan awam terus mendapat kepercayaan rakyat.

“Kebimbangan ini timbul kerana kita bukan sahaja mahu rakyat percaya bahawa sistem pengangkutan awam adalah selesa dan cepat, tetapi kebergantungan mereka untuk bergerak dari satu kawasan ke kawasan yang lain dalam keadaan selamat.

“Kita juga sedia maklum akan pembangunan menyeluruh sistem tren di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan pembinaan LRT3, MRT2 dan terbaru MRT3.

“Setakat ini,kerajaan Selangor sedang mendapatkan maklum balas daripada pihak Smart Selangor Command Centre tentang permintaan pengangkutan awam oleh rakyat di negeri ini dan bersedia untuk menambah kekerapan Bas Smart Selangor bagi menampung kekurangan kekerapan tren LRT akibat insiden ini,” katanya.

Pada kira-kira jam 8.45 malam Isnin, berlaku pertembungan melibatkan dua buah tren LRT Laluan Kelana Jaya hingga mengakibatkan seramai 213 penumpang cedera dengan 47 daripadanya cedera parah.

Prasarana menerusi kenyataan memaklumkan bahawa kemalangan melibatkan tren bernombor 40 dan 81.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!