X

Kindly register in order to view this article
!

Siapa kata jentera Pas ghaib: Noh

Noh (tengah) bersama pimpinan UMNO Bahagian Tanjong Karang menyampaikan sumbangan kepada mangsa ribut di Dewan Mutiara Kampung Seri Tiram Jaya.
A
A

TANJONG KARANG – Dakwaan jentera Pas ‘ghaib’ sepanjang kempen PRK DUN Semenyih kerana hanya melihat jentera UMNO berkempen bersama calon BN semata-mata adalah tidak berasas sama sekali.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Noh Omar menafikan dakwaan itu kerana tidak melihat keseluruhan kerja jentera kedua parti yang memainkan peranan masing-masing untuk menarik pengundi.

“Siapa kata tak ada? Jentera Pas dan UMNO siap ada sewa rumah untuk bantu berkempen. Kami turun sama-sama berkempen. Setiusaha Agung dan pemimpin Pas Selangor pun turun bermesyuarat bersama.

“Sebagai contoh UMNO dan Pas Tanjong Karang, kami bekerjasama membantu Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sungai Jai, Sesapan Batu dan Sesapan Batu Rembau,” katanya.

Tegas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu, jalinan kerjasama kedua parti itu sentiasa ada seperti mana gerak kerja PRK Parlimen Cameron Highlands meskipun ada segelintir pihak menidakkan kesepakatan itu.

“Saya tengok kerjasama kedua parti ini tetap ada...jangan percaya fitnah yang disebarkan sepanjang kempen PRK ini supaya nampak UMNO dan Pas tak sehaluan.

“Ini hanya mahu menipu saja dan mereka menang pun sebab berjaya fitnah dan menipu rakyat dengan janji palsu manifesto,” katanya ketika diminta mengulas lanjut mengenai dakwaan tiada kelibat jentera Pas sepanjang PRK Dun Semenyih.

Mengulas lanjut, Noh turut memerli janji calon PH yang kononnya mahu mewujudkan hospital baharu untuk rakyat DUN Semenyih sedangkan itu satu janji lapuk.

“Mungkin calon PH ni muda lagi dan tak buat kajian. Sebenarnya, dari dulu lagi BN dah mohon bangunan tambahan hospital baharu di bawah Hospital Kajang dengan kos RM300 juta dan berusaha untuk cari tapak yang ketika itu didiami setinggan.

“Perdana menteri sebelum ini sudah pun luluskan peruntukan untuk bangunan tambahan hospital itu namun bila kerajaan baharu memerintah, kementerian kesihatan sendiri cakap tak ada keperluan.

“Jika betul-betul mahu bela nasib rakyat, calon Bersatu PH sepatutnya mempertahankan projek bangunan tambahan hospital ini dan jangan dibatalkan, bukannya janji nak bina hospital baharu.

“Bila janji macam itu, nampak calon itu sendiri tak tahu apa yang dijanjikan. Yang ada sepatutnya dipertahankan. Tolong perjuangkan PPR Kampung Rinching dipertahankan.

“Sebab 160 unit rumah PPR yang diluluskan sebelum ini perlu diteruskan untuk membantu penduduk kurang berkemampuan kerana harga dijual hanya RM35,000 sedangkan harga pasaran RM160,000.

“Kalau betul nak berkempen, ni saya nak ajar sikit untuk modal kempen. Kalau betul PH nak berjuang untuk rakyat, projek bangunan tambahan hospital dan PPR ini perlu diteruskan,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!