X

Kindly register in order to view this article
!

Kemalangan LRT: MOT tubuh Jawatankuasa Siasatan

Kenyataan media MOT
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pengangkutan (MOT) telah menubuhkan Jawatankuasa Siasatan bagi memastikan orang ramai memperoleh maklumat tepat berkaitan siasatan terhadap kes kemalangan membabitkan tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya yang menyebabkan kecederaan penumpang.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, mesyuarat diadakan seawal jam 8.30 pagi pada Selasa untuk mengenal pasti keanggotaan dan bidang tugas dalam jawatankuasa tersebut yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia, Datuk Isham Ishak.

Ka Siong berkata, jawatankuasa berkenaan terdiri daripada kakitangan pelbagai agensi bagi mengumpul semua laporan siasatan sebelum dibentangkan sebagai laporan akhir.

“Nota Kabinet akan disediakan merangkumi laporan awal mengenai kronologi kejadian, jumlah mangsa yang terlibat, penubuhan petugas dan Jawatankuasa Siasatan serta tindakan susulan termasuk pelan penambahbaikan jangka panjang.

“Segala perihal berkaitan komunikasi awam mengenai penyiasatan akan dikeluarkan sepenuhnya secara rasmi oleh Pejabat Menteri.

“Arahan rasmi untuk melakukan penyiasatan akan disediakan dan ditandatangani oleh Menteri Pengangkutan seperti yang diperuntukkan di bawah Akta 715 (Akta Pengangkutan Awam Darat 2010),” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau berkata, setakat jam 7.55 pagi pada hari ini, seramai 21 mangsa menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) manakala enam orang berada dalam keadaan kritikal dan 15 orang lagi berada dalam keadaan separa kritikal.

“Daripada 64 orang yang dikejarkan ke HKL, seramai 43 orang mangsa telah diberi rawatan pesakit luar.

“Sepertimana yang diumumkan oleh Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, sebanyak RM1,000 bantuan kewangan khas akan diberikan kepada semua 213 penumpang yang terlibat.

“Prasarana juga akan menampung segala kos perubatan, rawatan susulan dan sebagainya bersesuaian dengan kecederaan yang ditanggung oleh para penumpang termasuk bantuan sara hidup bagi mereka yang kehilangan pendapatan akibat insiden ini,” ujarnya.

Pada Isnin, seramai 213 penumpang cedera dengan 47 daripadanya cedera parah akibat pertembungan dua tren LRT laluan Kelana Jaya yang berlaku di dalam terowong antara Stesen LRT KLCC dan Stesen LRT Kampung Baru melibatkan satu tren yang membawa penumpang serta sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji.

Kesemua mangsa yang cedera dibawa ke HKL untuk mendapatkan rawatan lanjut.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!