X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 17 Oktober 2021

Tiga anggota PGA peras ugut sepasang kekasih ditahan

AYOB KHAN MYDIN PITCHAY
A
A

JOHOR BAHRU - Tiga anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) berpangkat Lans Koperal ditahan selepas dipercayai memeras ugut sepasang kekasih di dalam sebuah kereta di Tambak, Pontian di sini pada malam Khamis lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tiga anggota PGA berusia lingkungan 27 hingga 33 tahun itu mengugut pasangan kekasih berkenaan supaya memberikan mereka wang sebanyak RM5,000 sekiranya tidak mahu diambil tindakan dan dirujuk kepada Jabatan Agama Islam.

"Disebabkan ketakutan, salah seorang mangsa mengeluarkan wang dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank dan menyerahkannya kepada anggota berkenaan.

"Anggota PGA berkenaan turut meminta gelang dan cincin emas yang dipakai mangsa wanita sebagai cagaran berikutan wang yang diberikan tidak cukup RM5,000.

"Kedua-dua mangsa yang dilepaskan kemudian membuat laporan polis mengenai kejadian berkenaan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Selasa.

Ayob Khan berkata, susulan laporan yang dibuat, polis berjaya mengesan dan menahan tiga suspek berkenaan pada hari yang sama.

"Tiga suspek direman untuk siasatan lanjut. Gelang dan cincin emas dirampas daripada seorang suspek.

"Ketiga-tiga suspek juga sudah didakwa pagi tadi (Selasa) mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana ugutan di Mahkamah Majistret Kulai.

"Bagaimanapun kesemua suspek mengaku tidak bersalah dan diberi jaminan RM7,000 setiap seorang sementara menanti perbicaraan," katanya.

Sementara itu, Ayob Khan menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai dan anggota yang terlibat dengan sebarang jenayah dan salah laku.

"Mengikut statistik dari Januari hingga hari ini (Selasa) seramai 54 individu membabitkan lima pegawai kanan polis dan 49 pegawai rendah telah dikenakan tindakan tatatertib.

"Seramai lapan anggota dan pegawai polis Johor sudah dibuang kerja, 59 ditahan kerja, 14 digantung kerja manakala 72 lagi menunggu perbicaraan atas tindakan tatatertib yang diambil dalam tempoh sama kerana melakukan jenayah termasuk dadah, samun dan memandu dalam keadaan mabuk," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!