Tujuh pekerja kilang gagal imbas kod MySejahtera dikompaun

Ayob Khan (kiri) menyertai operasi bersepadu Op Covid-19 di premis perindustrian di sekitar Seri Alam pada Selasa.
Ayob Khan (kiri) menyertai operasi bersepadu Op Covid-19 di premis perindustrian di sekitar Seri Alam pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kegagalan tujuh pekerja dari dua buah kilang di Seri Alam di sini mengimbas kod MySejahtera sebelum memasuki kilang tempat mereka bekerja membawa padah apabila mereka dikompaun pada Selasa.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pekerja kilang terbabit dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 setiap seorang.

Menurutnya, kompaun terbabit diberikan selepas mereka didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila gagal menggunakan aplikasi MySejahtera atau mencatatkan nama dan nombor telefon sebelum memasuki premis berkenaan.

"Pada pagi ini (Selasa) satu operasi bersepadu bersama polis, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ( JKKP) diadakan bagi memastikan setiap SOP Covid-19 yang telah ditetapkan dipatuhi premis perindustrian.

"Operasi secara bersasar ini melibatkan 10 buah premis perindustrian sekitar Seri Alam dan Iskandar Puteri. Hasil daripada operasi dijalankan tujuh pekerja kilang telah dikenakan kompaun kerana gagal mengimbas kod MySejahtera," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Selasa.

Sementara itu Ayob Khan berkata, pihaknya ada menerima laporan berhubung seorang pegawai atasan berbangsa asing di sebuah kilang di Seri Alam tidak mahu memberikan kerjasama dalam pematuhan kehadiran 60 peratus pekerja.

Katanya, tindakan amaran telah diberikan kepada pegawai atasan kilang terbabit bagi agar beliau mematuhi arahan SOP yang ditetapkan KKM.

Artikel Berkaitan:

"Kita telah menerima laporan daripada PBT berhubung keengganan pegawai atasan terbabit mematuhi had jumlah pekerja yang ditetapkan.

"Saya juga sudah jumpa pegawai atasan terbabit dan memberikannya amaran. Tak kira dari mana pun, warganegara apa pun perlu ikut peraturan di negara ini.

"Saya difahamkan orang tempatan tiada masalah cuma yang 'keras' sikit warga asing, kalau 'keras' kita akan lembutkan," katanya.