Insiden LRT: Bomba ambil masa satu jam keluarkan mangsa

Kemalangan melibatkan tren LRT bernombor 40 dan 81.
Kemalangan melibatkan tren LRT bernombor 40 dan 81.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengambil masa kira-kira sejam bagi mengeluarkan 213 mangsa dalam kejadian pertembungan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya di stesen Kampung Baru dan KLCC, pada Isnin.

Pengarah Bomba Kuala Lumpur, Nordin Pauzi berkata, operasi menyelamat mangsa mengambil sedikit masa berikutan proses penyelarasan antara bomba dengan pihak kawalan terowong serta LRT untuk memastikan operasi berkenaan berjalan lancar.

Menurutnya, operasi menyelamat mangsa berjalan kira-kira satu jam.

"Mangsa dikumpulkan sementara menunggu petugas kesihatan serta ambulans yang datang secara berperingkat untuk memberi rawatan.

“Operasi itu tidak menimbulkan sebarang masalah,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Sebelum ini, Nordin dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 8.45 malam.

Operasi menyelamat itu turut membabitkan beberapa agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Rapid KL.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, tren dari Gombak membawa 213 penumpang manakala tren dari arah Kelana Jaya yang tidak membawa penumpang dipercayai mengalami masalah teknikal sebelum pertembungan berlaku.

ARTIKEL BERKAITAN Dua tren LRT bertembung, penumpang cedera

Artikel Berkaitan:

Insiden LRT: 47 penumpang parah Insiden LRT: PM arah siasatan segera