X

Kindly register in order to view this article
!

Bantuan ringankan beban rakyat Pahang

Anaz
A
A

KUANTAN - Tindakan Kerajaan Pahang menyalurkan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) kepada golongan berpendapatan rendah ketika Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) adalah langkah tepat.

Pengerusi Pertubuhan Anak Muda Teruntum (Permat), Anaz AbMoris berkata, bantuan terbabit mampu memberi kelegaan kepada penerima yang pendapatan mereka terkesan akibat pandemik Covid-19.

"Kita akui hampir sebahagian ekonomi rakyat di Pahang terjejas akibat Covid-19. Jadi, dengan adanya bantuan ini, sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban sara hidup mereka.

"BPP yang disalurkan ini membuktikan Kerajaan Pahang mendengar keluh kesah rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Isnin lalu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy mengumumkan Kerajaan Pahang memperuntukkan RM7.8 juta untuk BPP secara bersasar kepada rakyat di negeri ini sebagai tanda keprihatinannya.

Mengulas lanjut mengenai pengumuman itu, Anaz berkata, pihaknya menyokong hasrat kerajaan dalam menyalurkan bantuan terbabit.

Jelas beliau, pihaknya terharu dengan pengumuman itu memandangkan pemberian bantuan pada masa kini dilihat tidak mencukupi khususnya kepada mereka yang berpendapatan rendah atau kehilangan pendapatan sepanjang PKP3/PKPD ini dikuatkuasakan.

"Kami juga menyokong penuh usaha ini kerana ia meliputi pelbagai lapisan penerima antaranya termasuklah petugas barisan hadapan dan mereka yang menjalani proses kuarantin di rumah akibat Covid-19," ujarnya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!