X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

Covid-19: Malaysia catat rekod tertinggi, 7,289 kes hari ini

Dr Noor Hisham Abdullah
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Malaysia mencatat 7,289 kes baharu Covid-19 hari ini, iaitu yang tertinggi pernah direkodkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dengan angka tersebut menjadikan jumlah keseluruhan kes ialah 525,889.

Menurutnya, Selangor masih merekodkan kes tertinggi iaitu sebanyak 2,642 diikuti Johor (664) dan Kuala Lumpur (604).

“Selain itu, Sarawak (513), Kelantan (425), Negeri Sembilan (410), Pulau Pinang (380), Kedah (336), Terengganu (268), Sabah (266), Melaka (258), Perak (218) dan Pahang (211).

“Bagi Labuan pula dengan 63 kes manakala Putrajaya (23) dan Perlis (lapan),” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat empat kes import dan 7,285 kes penularan dalam negara membabitkan 6,813 rakyat tempatan dan 472 warga asing.

“Seramai 726 pesakit Covid-19 diletakkan di unit rawatan rapi (ICU) termasuk 373 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Beliau berkata, kes kematian yang dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ialah sebanyak 60 melibatkan 59 rakyat tempatan dan seorang warga asing menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian Covid-19 adalah 2,369.

“Ini melibatkan 15 kes di Selangor, 10 kes di Johor, masing-masing enam kes di Sarawak dan Kedah manakala lima di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Selain itu, Sabah, Pulau Pinang, Perak dan Kelantan masing-masing tiga kes, dua di Melaka dan Negeri Sembilan serta satu di Pahang dan Terengganu,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai kes pulih Dr Noor Hisham berkata, 3,789 kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 direkodkan menjadikan jumlah kumulatif 460,062.

Beliau berkata, KKM mengenal pasti 15 kluster baharu Covid-19 sekali gus menjadikan jumlah keseluruhannya, 2,060 kluster.

"Terdapat 10 kluster tempat kerja, empat kluster komuniti dan satu kluster keagamaan dilaporkan," katanya.

Tambahnya, jumlah kluster yang tamat adalah 1,483 manakala 577 kluster masih aktif.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!