Budi bahasa 'rider' buat wanita terharu

Tular di laman sosial gambar Azrul bergambar bersama ibu kepada Vijaya.
Tular di laman sosial gambar Azrul bergambar bersama ibu kepada Vijaya.
A
A
A

CHERAS - Seorang wanita terharu apabila dilayan dengan baik oleh penghantar makanan walaupun dia tersilap memberi alamat ketika membuat tempahan makanan.

Perkongsian Vijaya Kasinathan dimuat naik di aplikasi mudah alih LinkedIn sebelum dikongsi di Twitter oleh Firdaus Abdullah hingga tular di laman sosial.

Menerusi status Vijaya, kejadian itu berlaku dua minggu lalu ketika dia membuat menempah makanan namun tidak menukar alamat dari Cheras ke Puchong.

Dia menyedari perkara itu namun sudah terlewat dan bertindak menghubungi penghantar makanan dikenali Azrul untuk mengambil sahaja makanan tersebut kerana dia sudah pulang dari pejabat.

Bagaimanapun, Azrul sebaliknya berhasrat menghantar makanan itu ke rumah wanita tersebut di Puchong tanpa sebarang bayaran.

Vijaya berkata, dia tidak menyangka Azrul akan menghantar makanan tersebut dan mengagumi sikap terpuji pemuda berkenaan di samping memiliki budi bahasa yang tinggi.

Sebagai tanda terima kasih, Vijaya telah memberi wang sagu hati bernilai RM100 namun Azrul dikatakan menolak pada awalnya namun akur menerimanya tanpa melihat jumlah wang yang diberikan dalam sampul.

"Tahu tak? Azrul kembali ke rumah saya, dengan mengalirkan air mata sambil berkata, "Apa yang kamu berikan ini terlalu banyak".

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Vijaya dengan rasa terharu menyatakan apa yang dilakukan oleh pemuda itu kepada dirinya lebih bererti dan tiada nilainya.

Sementara itu, menjengah di ruang komen Twitter Firdaus, rata-rata warganet berharap pihak Grab Malaysia memberi penghargaan kepada Azrul di atas keikhlasan dan kejujuran dalam melaksanakan tugasnya.

Ciap @itsbieeeee, "Tolong berikan ganjaran kepada dia, bagi la voucher anda itu boleh dia @Grab Malaysia".

Kata @edoraebrahem pula, "Ramai sebenarnya penghantar makanan yang bagus tapi kadang tak ramai pelanggan nak dedahkan maklum balas. Sebenarnya ini adalah maklum balas yang baik untuk syarikat dan kakitangan juga. Terima kasih kepada Sir Firdaus!".

Kongsi @geegeekajang, "Ramai penghantar yang hantar barang rumah saya kebanyakan 100 peratus berbudi bahasa. Kalau ada pun saya andaikan mereka terlampau penat atau mengejar masa".

Tambah @ilias, "Walaupun berbilang bangsa, ini yang kita mahukan bagi memupuk semangat perpaduan. Tidak kira siapa pun kita tolong".

Gara-gara ramai 'tagging' kepada @Grab Malaysia, difahamkan pihak berkenaan telah menghubungi Azrul dan mengucapkan terima kasih kepada warganet yang berkongsi ciapan tersebut malah berjanji akan memberi penghargaan kepada lelaki berkenaan.