Proses air ketum dalam rumah sewa

Pelbagai barangan termasuk air ketum dirampas dalam serbuan di rumah suspek. - Foto ihsan Pasukan Polis Marin Perak
Pelbagai barangan termasuk air ketum dirampas dalam serbuan di rumah suspek. - Foto ihsan Pasukan Polis Marin Perak
A
A
A

LUMUT - Seorang lelaki dikesan memproses dan menjual air ketum untuk pasaran sekitar Sitiawan dalam sebuah rumah sewa di sini.

Hasil risikan yang dijalankan Pasukan Polis Marin Perak berjaya membongkar kegiatan lelaki berusia 30-an itu dalam serbuan di Kampung Acheh di sini kira-kira jam 6 petang pada Isnin.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, pemeriksaan yang dijalankan menemui 30 bungkusan plastik disyaki air ketum dan 36 kilogram daun ketum dengan nilai keseluruhan RM5,190.

"Siasatan awal mendapati suspek menyewa rumah terbabit untuk dijadikan tempat memproses dan menyimpan air ketum.

"Suspek dipercayai aktif sejak setahun lalu memperoleh bekalan daun ketum dari Hilir Perak sebelum diproses dan dijual sekitar Sitiawan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, suspek menjual air ketum dengan harga RM10 sebungkus manakala daun ketum dijual pada harga RM30 setiap sekilogram.

"Pelbagai peralatan seperti mesin pengisar, periuk, dapur dan tong gas dipercayai digunakan untuk memproses air ketum dirampas.

"Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung untuk tindakan lanjut dan direman empat hari untuk disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Artikel Berkaitan: